TIP MENULIS NOVEL - 6
Memilih Genre? ✅
Membentuk Watak? ✅
Membina Sifat Watak? ✅
Membina Latar Tempat & Masa? ✅
Interaksi Antara Watak & Dunia? ✅
Perkara di atas sudah selesai dibincangkan dalam posting saya yang sebelum ini. Jadi, sekarang... Kita sudah boleh mula masukkan segala idea dan hasil pencarian untuk membentuk plot cerita. Cara yang paling mudah untuk kita membuat rangka cerita adalah dengan membina kronologi.
Kronologi yang saya maksudkan itu bukanlah kita perlu merangka dari awal sampai akhir sebelum menulis. Kronologi yang saya maksudkan itu ialah bagaimana kita menyusun interaksi watak, memperincikan latar belakang peristiwa dan memadankan watak dengan dunia novel kita.
Jadi, pada peringkat ini mungkin akan berlaku sedikit perubahan berbanding idea asal. Tak mengapa, itu tidak menjadi masalah bahkan mungkin idea baru ini lebih baik dan bernas berbanding sebelumnya. Perubahan yang berlaku terhadap watak juga merupakan perkara biasa, dan ia bagus sebenarnya. Ini kerana perubahan demi perubahan yang berlaku itu membuktikan seberapa bagus plot yang dibina.
◾ Macam mana cara untuk menyusun kronologi cerita?
Antara cara paling mudah dan biasa digunakan adalah dengan menyenaraikan insiden-insiden penting yang berlaku dalam cerita, sama ada secara rambang atau berturut-turut berdasarkan plot (permulaan, perkembangan, konflik, klimaks, peleraian).
Kalau boleh, bahagi siap-siap, bab berapa hingga berapa, termasuk dalam plot mana. Itu akan lebih memudahkan pengarang, bahkan melancarkan proses menulis dan pengembangan idea. Cara ini akan membuatkan penulis mendapat gambaran tentang keseluruhan cerita, dan bagaimana penamatnya nanti.
◾ Apa kebaikan menulis bab demi bab dengan tersusun?
Okay, pertama sekali... Dah tentu penulis boleh pergi dengan lebih mendalam untuk setiap bab itu. Selain itu, penulis akan di 'guide' oleh jalan cerita itu sendiri. Contohnya muncul adegan-adegan baru yang penulis tak pernah terfikir sebelum ini. Hal itu akan terjadi apabila penulis menulis bab demi bab. Tak percaya? Cubalah! 😄 Satu lagi kebaikan ialah, penulis boleh membuat bacaan ulangan kemudian menambah mana-mana bahagian yang kelihatan lemah dan belum lengkap.
Ini boleh dikatakan sebagai 'master plan'. Ia akan membantu penulis mengarang cerita dengan lebih efisien dan tersusun. Malah ia juga boleh membantu penulis untuk konsisten dalam menulis, serta membolehkan penulis melihat gambaran cerita dengan penuh terperinci dan mendalam.
Di atas ini merupakan contoh senarai bab demi bab mengikut plot. Selain daripada mengelakkan penulisan kita bercampur aduk, ia juga sangat berguna untuk mengelakkan daripada kehilangan idea. Stress juga kan, apabila kita semangat hendak menulis, idea yang berkobar-kobar itu hilang serta merta? Jadi, apabila idea muncul... Jangan berlengah. Terus catat dan buat nota. 🤗
Selamat menulis buat semua! 💕
© All Rights Reserved
0 comments