TIP MENULIS NOVEL - 4

Hi guys! Kembali ke tip menulis yang seterusnya, iaitu 'membina dunia'. Tip kali ini merupakan proses yang menyeronokkan dalam sebuah penulisan novel, kerana bermula dari sini, anda akan memulakan penyelidikan dan membuat kajian untuk novel yang bakal ditulis. Selain itu, dalam proses ini, anda dipersilakan meluaskan imaginasi anda dan digalakkan untuk menulis sesuka hati anda!

Soalan pertama yang anda perlu tanya kepada diri anda ialah, dunia apakah yang dipilih untuk anda mempersembahkan karya anda? Adakah dunia realiti? Adakah dunia lampau (sejarah)? Ataupun dunia fantasi (dunia imaginasi)? Tepuk dada, tanya selera. Dah buat pilihan? πŸ˜‰

πŸ‘» Dunia Realiti

Bagi penulis yang memilih dunia realiti sebagai latar tempat dan masa, tahniah. Anda dapat menjimatkan sedikit masa kerana persediaan asasnya sudahpun ada. Kenapa saya berkata begitu? Kerana bagi mereka yang memilih dunia realiti, suasana, persekitaran dan gambaran sudahpun tersedia di depan mata. Mereka hanya perlu meneliti dan menggunakan alam di sekeliling watak mereka untuk mengembangkan cerita. Contoh dunia realiti di sekeliling watak ialah tempat kediaman, tempat kerja, persekitaran dan seumpamanya. Namun, mereka yang memilih dunia pertama ini masih perlu membuat sedikit penyelidikan sekiranya mereka menulis berkenaan sesuatu yang melibatkan fakta. Contohnya perubatan dan teknologi. Ataupun, sekiranya mereka menulis berkaitan sesuatu yang berada di luar pengetahuan mereka, atau tempat yang tidak pernah mereka kunjungi.

πŸ‘» Dunia Lampau

Bagi penulis yang memilih dunia lampau, tahniah dan syabas. Kerana anda adalah golongan yang rajin, dan sangat gemar akan cabaran. Ini kerana penulisan novel yang berlatarbelakangkan dunia lampau memerlukan kajian yang banyak, dan proses penulisan anda mungkin akan diberati dengan penyelidikan. Menulis tentang fiksyen sejarah adalah yang mana penulis mengadunkan fakta sejarah dalam penulisan mereka. Dalam hal ini, penulis perlu merangka dan menyediakan fakta-fakta berdasarkan zaman yang mereka pilih. Tetapi jangan risau. Fiksyen sejarah bukanlah seperti buku ilmiah yang sarat dengan 100% fakta yang tepat. Dalam menulis novel fiksyen sejarah, penulis boleh membuat penambahan terhadap perkara yang tidak dapat diselidiki. Ataupun, jika berminat, mereka boleh mengubah sebahagian daripada perjalanan asal sejarah itu sendiri.

πŸ‘» Dunia Fantasi / Imaginasi

Bagi mereka yang memilih dunia lain contohnya fantasi, mereka bebas menentukan bagaimana dunia tersebut. Perkara paling penting bagi penulis yang memilih dunia ini adalah daya imaginasi. Mungkin terdapat sedikit kajian yang perlu dijalankan, contohnya seperti untuk mengetahui bagaimana sistem ketenteraan dijalankan, atau bagaimana pengurusan sesebuah istana. Namun ia tidaklah teliti, bahkan ia tidaklah perlu tepat sebagaimana dunia sebenar, memandangkan ia dalam dunia fantasi. 

πŸ“Œ Langkah Seterusnya

Selepas memilih dunia manakah yang akan menjadi latar belakang penulisan anda, langkah seterusnya ialah dengan mencatat keseluruhan idea, nota dan hasil kajian. Pada proses ini, biarkan imaginasi anda melata seluas mungkin. Apabila idea dicurahkan, anda akan mula nampak jalan untuk menghasilkan sebuah cerita. Proses ini adalah untuk membolehkan anda memahami cerita yang akan ditulis dengan lebh mendalam, serta menghasilkan gambaran yang lebih jelas.

Namun, apa jua latar belakang yang anda pilih, pastikan ia terlihat seperti benar-benar wujud dan hidup. Tidak kisahlah sama ada imaginasi atau realiti, sesebuah cerita itu perlu hidup terlebih dahulu, sebelum ia hidup di hati pembaca. Ia juga perlu 'believable' dalam konteks dunianya.  

Contoh cerita yang hidup ialah Twilight Series karya Stephenie Meyer, dan Harry Potter Series karya J. K. Rowling. Novel tersebut meskipun bukan berlatarbelakangkan dunia nyata, namun ia cukup hidup di hati para pembaca, sehingga membuatkan mereka berasa watak itu benar-benar ada.

Berikut adalah contoh novel yang saya sebutkan tadi.


Karya Stephenie Meyer


Karya J. K. Rowling

© All Rights Reserved

Share:

0 comments