TIP MENULIS NOVEL - 5
Kembali lagi kita dalam tip
menulis novel, kali ini saya akan menyambung tip yang sudah saya huraikan
sedikit pada minggu lepas. Tip kali ini masih di bawah tajuk 'Worldbuilding',
iaitu pemilihan latar belakang (masa dan tempat) bagi novel yang akan kita
tulis. Korang dah decide ke dunia apa yang akan korang gunakan untuk menulis
novel? Kalau saya, sudah tentulah dunia realiti, sebab saya tidak memiliki daya
imaginasi yang tinggi sebagaimana sebahagian penulis hebat yang lain.
Okey... Kita sambung semula topik 'worldbuilding' ini. 'Worldbuilding' ini bukan sahaja seronok, bahkan ia juga
merupakan antara bahagian terpenting dalam pembikinan novel. Dalam bahagian
kedua worlbuilding ini, kita akan meneliti perincian yang boleh ditambah untuk
membuatkan cerita yang ditulis itu benar-benar hidup dan segar.
π PENTING : BAGAIMANA WATAK DAN DUNIA
BERINTERAKSI
Dunia yang telah kita pilih akan
menentukan dan memberi kesan terhadap kehidupan watak. Misalnya dari segi
peribadi, kehidupan seharian mereka, dan bagaimana / apakah yang akan
berlaku pada masa akan datang. Untuk lebih jelas, saya sertakan contoh ya.
◾ Dunia Lampau :
Contoh, anda menulis
berkenaan sejarah. Jadi anda perlu memadankan zaman yang anda pilih itu dengan
kehidupan seharian watak, yang sudah tentu jauh bezanya dengan zaman sekarang
iaitu zaman yang pesat dengan pembangunan dan teknologi. Contoh perkara yang
berbeza ialah aktiviti seharian, cara masyarakat bersosial, pakaian dan adat
resam dan sebagainya. Juga boleh menceritakan bagaimana aktiviti seharian itu
dilakukan. Bayangkan anda berada di zaman itu, yang mana tidak ada teknologi
sepertimana zaman kini. Menyeronokkan untuk ditulis, bukan?
Contoh lagi, sekiranya anda
bercerita soal peperangan, anda perlu meneliti bagaimana reaksi atau tindakan
mereka ketika itu. Apakah yang mereka lakukan sehari-hari untuk menyelamatkan
diri? Bayangkan apakah yang biasanya terjadi apabila berlakunya peperangan.
Gambarkan bagaimana kemusnahan, ketakutan yang dialami, kecederaan yang mungkin
berlaku, dan banyak lagi.
◾ Dunia Fantasi :
Dunia fantasi atau
imaginasi ini luas, bergantung kepada apa yang anda reka. Contoh yang akan saya
beri ialah dunia masa depan / robotik. Bayangkan anda hidup pada zaman yang
mana hampir kesemuanya diuruskan oleh mesin. Kalau anda memilih dunia seumpama
itu, anda perlu memadankannya dengan watak serta kehidupan seharian mereka.
Sudah tentulah hari-hari mereka akan berbeza dengan dunia realiti. Bangun pagi,
contohnya. Jika di dunia realiti, kita akan sibuk membuat sarapan kemudian
bersesak ke tempat kerja. Mungkin pada masa hadapan, anda boleh andaikan bahawa
segalanya disediakan oleh robot. Sarapan, kerja-kerja rumah dan sebagainya. Itu
contoh, ya.
Sebab itulah, pentingnya anda
menguasai worldbuilding ini. Kerana proses ini akan mengikat watak dengan dunia
mereka. Susah hendak memadankan watak dengan dunia mereka? Jangan risau. Anda
boleh mengambil inspirasi daripada dunia realiti dan mengubahnya ke dalam
bentuk yang sesuai dengan dunia anda. Apakah aspek-aspek yang boleh
diinspirasikan daripada dunia realiti itu?
▪ Landskap, Topografi (keadaan
muka bumi), Cuaca, Flora dan Fauna.
▪ Agama, Makhluk, Sejarah, Mitos,
Masyarakat, Budaya, Pengangkutan.
▪ Pekerjaan, Ketenteraan,
Teknologi, Perubatan, Politik, Sistem Kerajaan.
Kajian yang dilakukan boleh
bersandarkan senarai di atas, bergantung kepada dunia yang anda pilih. Senarai
di atas adalah untuk memudahkan anda melaksanakan kajian bagi mendapatkan
maklumat. Sekiranya ada penambahan lain, dipersilakan menggunakannya. Mungkin
ia dapat menambah lagi kualiti novel anda. Jangan risau dan berasa
terbeban. Anda tidak perlu menghurai setiap aspek dengan benar-benar
terperinci. Hanya perkara tertentu sahaja yang memerlukan latar penceritaan
yang mendalam. Bagi mengelakkan anda merasa terbeban, saya cadangkan anda
menerangkan sesuatu itu dengan terperinci, hanya jika mendapati ianya
signifikan, penting dan dapat membantu perkembangan watak. Contohnya, jika
aspek utama yang berkaitan dengan watak ialah pendirian agama, maka anda perlu
mengetengahkan hal itu dengan lebih mendalam berbanding hal-hal lain.
Banyak kebaikan sekiranya anda
mampu menceritakan dunia novel anda dengan lebih mendalam. Antaranya ialah
pembaca akan merasa seronok, kerana dapat menghayati apa yang ditulis. Selain
itu, ia juga dapat memberikan impak emosi terhadap para pembaca.
0 comments