TIP MENULIS NOVEL - 1
"Susahkah menulis?"
"Bagaimana hendak mula menulis?"
"Bagaimana untuk mendapatkan idea?"
"Apakah perkara pertama yang perlu dilakukan untuk menulis novel?"
Soalan di atas pasti bermain dalam fikiran seseorang yang berniat untuk menjadi penulis. Menulis novel ini sedikit berbeza daripada menulis buku-buku lain contohnya buku ilmiah. Ini kerana dalam penulisan novel, tiada format khusus yang ditetapkan sebagaimana bahan bacaan yang lain.
Susahkah? Okay saya jawab dengan pandangan peribadi saya, ya. Bagi saya agak susah. Bahagian yang paling susah dalam menulis novel ialah permulaan. Permulaan ini termasuklah untuk memperkenalkan watak-watak dan situasi. Betul lah kata orang, menulis ni umpama air paip. Selagi kita tidak membuka pili, maka selagi itu air tidak akan mengalir. Jadi apa yang perlu dilakukan? Mula Menulis. Permulaan penulisan akan terasa sangat payah, tapi yakinlah setelah beberapa ketika, idea akan datang mencurah-curah. In-sya Allah. 🤗
Bagaimana hendak mula menulis? Nak mula menulis.. Bagi saya perkara pertama yang perlu ada ialah Minat. Kalau tidak ada minat, dibimbangi ia akan terhenti separuh jalan. Kedua, Matlamat. Kenapa hendak menulis? Apa yang hendak disampaikan melalui penulisan kita? Soal Bakat, itu boleh diasah. Seorang penulis profesional bermula daripada seorang penulis biasa yang tidak pernah mengalah. Jadi, jangan pernah lemah semangat, dan menulislah demi ummah 😉
Bagaimana mendapatkan idea? Jangan risau. Idea akan datang apabila kita memulakan cerita. Jadi nak tak nak, perlu bermula. Soal kualiti penulisan, itu boleh diperbaiki dari semasa ke semasa. 🥰
Sekarang kita masuk kepada topik penting dalam 'TIP MENULIS NOVEL'. Apakah perkara pertama yang perlu dilakukan untuk menulis novel? Okay pertama sekali kita perlu tahu bahawa terdapat banyak cara untuk memulakan sesebuah penulisan khususnya novel. Cara itu pula berbeza-beza, bergantung kepada penulis itu masing-masing. Ada penulis selesa memulakan novel mereka dengan menamakan watak. Ada penulis selesa memikirkan tajuk terlebih dahulu supaya isinya nanti berkaitan dengan tajuk yang mereka pilih. Ada juga yang suka melakarkan plot, supaya apa yang ditulis nanti tidak terpesong jauh daripada idea asal. Bermacam-macam, bukan?
Jadi apa yang akan saya tulis ini, merupakan salah satu cara untuk memulakan novel. Apakah caranya? Tadaa...👉 MEMILIH GENRE. Bagi saya, antara cara mudah untuk menulis novel adalah dengan memilih genre atau jenis cerita yang ingin ditulis terlebih dahulu. Apa itu genre? GENRE ialah kategori atau jenis karya sastera yang dicirikan dengan gaya, bentuk / kandungan tertentu.
Contoh genre ialah :
😮 Aksi (Action)
😮 Fantasi (Fantasy)
😮 Komedi (Humor)
😮 Misteri (Mystery)
😮 Pengembaraan (Adventure)
😮 Romantik (Romance)
😮 Sejarah (Historical)
😮 Seram (Horror)
Apabila genre telah dipilih, maka lebih mudahlah untuk kita fikirkan bagaimana jalan cerita, watak yang perlu ada, dan konflik-konflik yang akan didepani oleh watak itu nanti. Sebagai contoh, genre romantik. Pasti dalam fikiran kita sudah terbayang bahawa romantik itu berkaitan soal cinta. Bermula daripada itu, kita boleh memilih watak-watak, dan apakah konflik yang sesuai untuk genre romantik. Untuk perkembangan idea, ia bergantung kepada penulis sama ada hendak menggabungkan elemen lain seperti aksi, seram / komedi bagi menyokong penulisan mereka.
Oh ya. Pemilihan genre ini juga meliputi dua perkara. Antaranya ialah :
1. Genre manakah yang terbaik, yang membolehkan kita menyampaikan cerita / karya kita.
Contoh. Kita hendak menulis berkenaan cabaran dalam rumah tangga / konflik dalam sesebuah perhubungan. Jika dilihat, sudah tentulah ia bertepatan dengan genre romantik / drama / kekeluargaan. Kerana genre tersebut membolehkan kita mendalami serta menyampaikan cerita dengan baik. Ia juga akan menyerlahkan 'first impression' seseorang terhadap karya kita. Apabila pembaca melihat sinopsis / blurb, mereka akan tahu 'Oh, novel ini berkisahkan tentang konflik pasangan, keluarga, etc.'
2. Genre manakah yang memberi keyakinan untuk anda menulis.
Macam mana nak tahu, genre manakah yang patut kita tulis? Salah satu kuncinya ialah - genre yang kita minati. Jika kita meminati genre romantik-komedi (rom-com), maka tulislah cerita bergenre romantik komedi. Jika kita sukakan thriller / misteri, maka tulislah cerita yang berunsurkan genre tersebut. Kenapa? Kerana, menulis apa yang kita suka akan memudahkan kita memperolehi idea.
Genre manakah yang anda minati?
Jom kongsikan karya masing-masing di ruangan komen! 🥰
© All Rights Reserved
0 comments