NOKTAH - SPECIAL CHAPTER
⚠️ Trigger Warning : This story includes references to murder scene.
20 Tahun yang lepas….
Keriuhan itu semakin lama semakin jelas kedengaran di cuping telinganya. Susah payah kelopak matanya cuba dibuka, meskipun kantuk masih bersisa. Dengan terpisat-pisat dia bangkit dari tilam nipis yang menjadi alas tidurnya, kemudian meraba-raba dalam kegelapan mencari arah jalan keluar dari bilik kecil itu. Sesampainya di satu sudut sebelum masuknya ke ruang tamu, dia menenyehkan matanya menggunakan hujung jari telunjuknya yang halus, cuba menghilangkan rasa mengantuk dan mamai. Ibu? Meskipun keadaan gelap, dia masih dapat mengecam wanita yang berada di ruangan tersebut.
Namun sebaik sahaja dia melangkah ke ruang tamu untuk mendapatkan ibunya, tubuhnya tertolak dengan kuat sehingga terhentam pada dinding kayu dan terjelepok di lantai. Cecair pekat dan hangat terpercik ke wajahnya, dan susuk tubuh yang dilihatnya tadi jatuh longlai tepat di hadapannya. Dia kaku. Tidak mengeluarkan sebarang bunyi. Rasa terkejut membungkamkannya. Jantungnya terasa mengecut.
Dalam gelap, dia meraba-raba objek yang berada di hadapannya. Bermula dari jari jemari, kemudian lengan, bahu dan leher. Leher? Kali ini jantungnya bukan lagi mengecut bahkan terasa hampir luruh. Ya! Di hadapannya ini adalah jasad manusia tanpa kepala! Segera dia mengangkat tangannya daripada terus menyentuh tubuh tersebut, dan berundur ke belakang dengan mengesot. Kali ini esakannya tidak lagi dapat ditahan. Dadanya terasa sempit, dan pernafasannya seolah-olah terhalang oleh sesuatu yang tersekat di kerongkong. Dia terus-menerus mengesot menjauhi tubuh yang disentuhnya tadi.
Dengusan kasar yang kedengaran di ruangan itu cukup memeranjatkannya. Bunyi itu semakin mendekat, dan saat ini dia hanya mampu duduk di lantai, merapatkan lutut ke dada dan menekup kedua-dua belah telinga. Rasa gerun mula menjalar ke seluruh urat darahnya. Bunyi dentuman dan hentaman masih kedengaran meskipun telinganya sudah ditekup dengan kedua-dua telapak tangannya. Sesekali kedengaran seperti dua ekor binatang buas yang bertarung mati-matian demi mendapatkan mangsanya.
Selepas beberapa ketika, terdengar jeritan nyaring, disusuli dengan erangan seperti seseorang sedang menahan kesakitan, dan tidak lama kemudian suasana kembali sepi, cuma nafas lelah sahaja yang kedengaran. Perlahan-lahan dia menurunkan kedua-dua belah tangannya dan cuba untuk berdiri. Pandangannya diarahkan ke ruang tamu. Bibirnya serta-merta memucat disertai dengan getaran hebat yang ditahan dalam dada.
Tidak jauh di hadapannya, dalam samar-samar kelihatan susuk tubuh seorang lelaki dewasa sedang pegun berdiri, dan di tangannya terdapat sebilah pisau. Hujung mata pisau disaluti cecair pekat yang menitis setitik demi setitik ke lantai. Kakinya hendak melangkah, namun serentak itu juga tubuhnya dipeluk erat dari belakang, dan mulutnya ditekup kemas bagi memastikan tiada suara atau bunyi yang dikeluarkan. Niatnya untuk meronta dibatalkan apabila anak matanya tertancap pada susuk tubuh dua manusia yang terbaring lemah di lantai. Serta-merta tubuhnya menggigil. Bau hanyir darah yang masih segar perlahan-lahan menusuk ke rongga pernafasannya, membuatkan tekaknya terasa kembang dan loya.
Ketakutan mula menyelubungi dan hampir sahaja pundi kencingnya menitiskan air, apabila lelaki yang berdiri tadi mengalihkan pandangan ke arahnya. Kakinya ingin membuka langkah dan segera berundur dari situ, namun seluruh ototnya terasa membeku dan melembik seakan-akan jeli. Tangan yang tadinya menekup kemas mulutnya tiba-tiba memegang erat tangannya, dan menariknya untuk segera beredar dari situ. Air mata yang merembes ke pipi tidak diseka. Kakinya terus menapak menuruti langkah entah siapa yang memegang erat tangannya saat ini, tanpa menoleh ke belakang lagi. Saat ini, nyawanya lebih penting.
* * * * *
Mereka berlari keluar dari rumah melalui pintu belakang. Tanpa sempat memakai selipar, dua pasang kaki itu terus meredah kepekatan malam dengan hanya berkaki ayam. Ternyata ketakutan yang dialami melenyapkan rasa sakit di telapak kaki mereka akibat berpijak pada batu-batu kecil yang tajam, dan duri-duri halus yang tumbuh di sepanjang perjalanan.
Sesekali, mereka menoleh ke belakang bagi memastikan lelaki tadi tidak mengekori mereka namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila terlihat kelibat lelaki tadi berada tidak jauh di belakang, kira-kira 300 meter sahaja dari mereka.
Langkahnya terhenti apabila genggaman yang kemas tadi terlerai. Dia tercengang. Kenapa? Lelaki yang mengekori mereka tadi semakin mendekat. Gemuruhnya tidak dapat dikawal lagi. Bibirnya bergetar, tidak mampu menuturkan kata-kata, walau hanya dengan berbisik. Suaranya seolah-olah tenggelam.
“Adik, pergi dulu. Abang akan datang nanti,” insan yang menarik tangannya tadi bersuara. Suara itu kedengaran lelah dan penat, dengan bunyi hembusan nafas yang tidak sekata akibat larian.
“Tak nak. Jangan tinggalkan adik,” ujarnya separuh merayu agar tidak ditinggalkan sendirian di situ.
“Tak, abang takkan tinggalkan adik. Janji. Abang akan datang nanti. Abang kan lari laju. Adik lari, dan bersembunyi. Nanti abang sampai,” kata-kata tersebut berbaur pujukan bercampur arahan.
“Tapi..,” kali ini matanya terasa panas, dan hidung mulai perit. Rasa takut dan risau saling bertingkah.
“Tolong dengar cakap abang. Dah, pergi sekarang,” tubuhnya dipusingkan dan ditolak perlahan ke hadapan, isyarat supaya arahan itu dituruti dengan segera.
Dengan perasaan yang berbelah bahagi, dia meneruskan langkah. Kehendak hati memaksanya untuk kembali mendapatkan abangnya, manakala akal pula menggesanya untuk terus berlari dan mematuhi permintaan abangnya. Dua keputusan yang bercanggah, membuatkan dirinya semakin gundah. Akhirnya dia memutuskan untuk meneruskan larian, setidak-tidaknya dia perlu berusaha mendapatkan bantuan.
Jeritan yang berulang-ulang kali memanggil namanya tidak dipedulikan. Telinganya dipekakkan, hanya mata sahaja yang cuba ditajamkan, kerana mengharungi kegelapan malam adalah lebih sukar daripada yang dibayangkan. Tambahan pula tangannya kosong, tidak ada lampu suluh atau sebarang objek yang boleh mengeluarkan cahaya dan mampu membantunya melihat keadaan sekeliling.
Bulan seolah-olah menyembunyikan diri. Dia mendongak ke langit. Kelam tanpa cahaya, hitam sepekat-pekatnya. Kerlipan bintang juga tidak begitu kelihatan. Ini menandakan hujan bakal turun tidak lama lagi.
Sebelum perjalanannya menjadi lebih sukar kerana hujan lebat bercampur kepekatan malam, lebih baik dia terus mengorak langkah. Sekurang-kurangnya mencari tempat persembunyian untuk melegakan kelelahan.
Acapkali dia tersadung dan tersungkur ke tanah, namun segera bangkit, dan terus berjalan meskipun dalam keadaan terhinjut-hinjut. Pedih di telapak kaki mula terasa, namun itu tidak cukup untuk menghentikan langkahnya. Sesekali wajahnya ditampar dedaun kasar yang merintangi jalan yang dilaluinya. Larian tadi diganti dengan berjalan, kerana matanya tidak mampu menangkap apa-apa objek di hadapannya. Sambil berjalan, tangannya menggagau sekeliling. Kosong.
Kakinya dapat merasakan dia sudah semakin hampir dengan jalan besar. Segera dipercepatkan langkahnya dan akhirnya dia sampai di jalan bertar. Tiada lampu jalan yang menerangi sekeliling. Tiada juga bunyi kenderaan yang melalui kawasan tersebut. Dia berjalan lemah sambil menunduk.
Tiba-tiba terdengar enjin kereta, disusuli cahaya daripada lampu kenderaan, yang menyilaukan pandangannya. Sebuah kenderaan menuju ke arahnya. Dia tergamam, dan hanya mampu menahan silau dengan tangan. Kakinya terasa seperti digam. Tidak mampu bergerak walau seinci pun.
Bammm!!!!!
* * * * *
Suasana di sekitar rumah itu agak tegang dan riuh-rendah. Di halaman rumah, kelihatan tiga orang kanak-kanak duduk bersama seorang lelaki dan wanita dewasa, yang kedua-duanya berusia dalam lingkungan lewat 30-an. Tidak jauh daripada mereka, seorang wanita muda duduk di atas tanah, memeluk erat anak lelakinya sambil mengongoi. Esak tangisnya memenuhi ruangan tersebut.
Pagi ini kelam. Matahari yang sepatutnya terbit memancarkan sinar masih tidak kunjung tiba. Hanya awan kelabu sahaja yang berarak perlahan memenuhi dada langit, menjadikan cuaca mendung dan suram.
Sejak awal pagi tadi, kawasan rumah itu dikerumuni oleh penduduk kampung setelah masing-masing mendengar siren kereta peronda polis masuk ke kawasan tersebut. Pegawai pertama yang tiba di kawasan tersebut awal pagi tadi telah membuat pengenalpastian terhadap mangsa, saksi, suspek dan beberapa pihak lain yang terlibat. Individu yang dikenal pasti telahpun diasingkan daripada kelompok lain. Situasi sebenar juga telah dikenal pasti, dan pegawai yang terlibat kemudiannya menentukan sempadan tempat kejadian.
Setelah pengenalpastian dilakukan, mereka melakukan pembersihan tempat kejadian. Pihak yang tidak terlibat seperti pemerhati, jiran-jiran, penduduk kampung dan petugas media telah diminta untuk memberikan kerjasama dengan tidak melintasi pita penghalang kuning yang dipasang sebagai tanda perimeter luar.
Tujuan pembersihan kawasan tempat kejadian adalah untuk mengenal pasti suspek, mangsa atau saksi tambahan. Ada juga di kalangan penduduk yang berkeras hendak memasuki kawasan perimeter, namun segera dihalang oleh pegawai peronda yang bertugas. Hal ini kerana bukti jenayah berpotensi tercemar atau dimusnahkan setiap kali seseorang memasuki tempat kejadian. Boleh jadi juga bukti-bukti tersebut dikeluarkan atau dipindahkan ke tempat lain sekiranya terdapat campur tangan orang luar. Pita penghalang kuning yang dipasang sebagai perimeter kawasan kejadian pula bertujuan untuk menjelaskan kepada orang luar atau pihak media, mengenai tempat yang dibenarkan dan tempat yang tidak dibenarkan.
Mayat mangsa telahpun diuruskan oleh pihak kakitangan perubatan, dan dibawa ke hospital untuk bedah siasat. Hanya terdapat sejumlah pihak sahaja yang masih berada di tempat kejadian antaranya ialah pegawai peronda, detektif dan penyiasat tempat kejadian jenayah. Beberapa orang pegawai peronda masih berada di tempat mereka iaitu berhampiran dengan perimeter, bagi memastikan situasi dalam keadaan yang terkawal dan kawasan tempat kejadian bebas daripada sebarang pencerobohan.
Para penyiasat tempat kejadian pula sibuk dengan tugas mereka, iaitu mendokumentasikan tempat kejadian, mengenal pasti bukti-bukti kukuh yang benar, memproses dan mengumpul bukti, mengemukakan bukti, dan menyediakan laporan bertulis berserta bahan sokongan tambahan. Antara yang turut sama membantu penyiasat tempat kejadian adalah jurugambar, iaitu orang yang berperanan melakarkan tempat kejadian, mendokumentasikan darah, mendokumentasikan metode jenayah serta cap jari. Manakala di satu sudut, dua orang detektif sedang duduk berlutut di hadapan salah seorang daripada tiga kanak-kanak tadi. Mereka ditugaskan menemu bual saksi dan mangsa, kemudian bekerjasama dengan penyiasat tempat kejadian bagi memastikan kenyataan dan maklumat yang diberikan oleh pihak yang terlibat adalah konsisten dengan bukti di tempat kejadian.
Wajah kanak-kanak perempuan yang duduk menghadap dua orang detektif itu terlihat bingung sekaligus ketakutan. Bingung dengan keadaan dan situasi yang tidak sedikitpun difahaminya, dan takut dengan apa yang disaksikan dan dihadapi pada malam tadi. Pandangannya lurus ke satu sudut, dan matanya mula membening. Air mukanya berubah, dan wajahnya disembamkan ke dada lelaki dewasa yang meribanya.
“Aa.. Ay.. Ayah..,” suaranya perlahan tetapi masih boleh didengari.
Dua orang detektif yang duduk bersama mereka dari tadi saling berpandangan. Ayah? Tanpa ada yang menyedari, sepasang mata sedang memerhatikan mereka dari jauh sejak awal pagi tadi. Diam dan pegun.
๐ค To Be Continue...
© All Rights Reserved
Note : Special Chapter adalah bab yang menjadi kunci kepada keseluruhan cerita.
I'd love to hear your thoughts. Leave a comment below and feel free to drop your advice for the improvement ๐
0 comments