NOKTAH - CHAPTER 1


Beberapa kali dia menenyeh kelopak mata untuk memastikan apa yang terpapar di ruang penglihatannya sekarang adalah realiti, bukan khayalan semata-mata. Namun apabila tiada perubahan, barulah dia sedar ternyata situasi yang dilihatnya kini bukanlah sebuah halusinasi.

Peluh dingin mula keluar dari liang roma. Kakinya terasa lumpuh untuk beberapa saat. Apabila susuk tubuh itu mula menoleh dan mengorak langkah mendekatinya, dia segera membuka langkah melarikan diri. Lariannya seperti orang sasar. Kerap kali dia tersadung, namun cepat-cepat bangkit. Arah yang ditujunya juga tidak jelas. Yang dia tahu hanyalah menyelamatkan diri sebelum dia menjadi korban sebagaimana mangsa tadi. Sambil berlari, dia berpaling menoleh ke belakang.

Susuk tubuh yang sedang mengejarnya dengan menggenggam sebilah pisau itu benar-benar membuatkan dia cemas. Kakinya yang luka tidak diendahkan. Air matanya gugur dengan lebat. Perasaan takut yang dirasainya sekarang tidak sedikitpun terangkat malah semakin memberat. Sungguh, dia sangat takut dan gerun dengan kemungkinan yang bakal menimpanya. Tanpa sedar dia sudah menghampiri jalan raya berturap. Kegelapan malam membuatkan penglihatannya terbatas.

Saat kakinya merasakan kasarnya permukaan asphalt, sebuah cahaya daripada lampu kenderaan memancar ke arahnya. Sebelah tangannya diangkat merintangi wajah, untuk menghalang cahaya tersebut daripada terus menembusi retina matanya. Mulutnya terlopong saat kenderaan itu semakin mendekat. Semua itu berlaku dengan sangat pantas tanpa sempat dia mengelak. Tubuhnya terasa dirempuh sesuatu, menyebabkannya tergolek ke pinggir jalan dan terdampar di atas batu-batu kecil. Sesaat kemudian, bammm! Terdengar bunyi dentuman dari arah yang bertentangan dengan tempat dia mendarat setelah tercampak.

Badannya terasa seperti dipaku pada tempat pembaringan. Jari-jemarinya cuba digerakkan, namun hampa apabila ia turut kaku seperti seluruh anggota tubuhnya yang lain. Suaranya juga tenggelam. Jeritan sayu hanya bergema dalam hati, langsung tidak terluah di bibir. Matanya terus-menerus menumpahkan mutiara jernih. Sekali lagi dia cuba berteriak sekuat hati meminta tolong. Namun, hanya tekaknya sahaja yang berasa pedih, manakala jeritannya tenggelam dalam kerongkong.

Satu suara memanggil namanya dengan nada yang lembut. Suara itu kedengaran sayup-sayup pada awalnya namun semakin lama ia kedengaran semakin hampir. Matanya dikerdipkan, cuba mengisyaratkan bahawa dia mampu mendengar, cuma badannya tidak berupaya memberi respon. Terasa bagaikan seluruh tenaganya disedut keluar dari badan. Dia benar-benar lemah dan tidak berdaya.

“Adik...,” suara itu berbunyi lagi, kali ini disertakan dengan goncangan pada bahunya.

Dengan susah payah, dia cuba membuka kelopak matanya yang dirasakan semakin memberat. Matanya memandang lemah ke kiri dan kanan, mencari pemilik suara yang memanggilnya. Sebaik sahaja melihat susuk tubuh yang duduk di sampingnya, tangisan dihamburkan semahunya bagi melepaskan perasaan yang bertakung dalam dada. Rasa semput singgah, menjadikannya tercungap-cungap cuba mendapatkan udara yang membolehkannya bernafas. Setiap udara yang dihirupnya terasa menyenakkan dada.

“Adik, okey tak? Kenapa ni?” soal Firash dengan nada risau melihat keadaan adiknya.

Firuz diam, tidak berkata apa-apa. Dia cuba bangkit dari pembaringan, dibantu oleh Firash. Air matanya masih bercucuran. Dia duduk di atas tilam tempat tidurnya dengan kedua kaki dirapatkan dan tangannya memeluk kedua lututnya.

Melihat kepada kedudukan adiknya itu, Firash sudah faham. Perlahan-lahan dia mengambil tempat di sisi Firuz. Bahu adiknya disentuh lembut, berharap agar kekuatan yang ada padanya dapat dikongsikan dan kesakitan yang dirasai adiknya dapat dipindahkan kepadanya.

Tangisan Firuz semakin kuat, ditambah dengan tangannya yang mula memukul dadanya sendiri. Semakin lama pukulan itu semakin kuat dan akhirnya terdiam apabila pergelangan tangannya digenggam kemas oleh Firash.

“Adik, tengok muka abang,” lirih suara Firash memujuk, namun adiknya itu seperti hilang dalam dunianya sendiri, mengalihkan wajah ke arah lain supaya tidak dilihat olehnya.

“Adik, abang ni. Pandang sini,” pinta Firash sekali lagi.

Kali ini wajah sayu Firash ditatapnya. Firuz meledakkan tangisannya. Kali ini lebih kuat berbanding tadi. Rasa sesak yang bergelojak dalam dadanya cuba diusir seboleh mungkin. Esakannya kedengaran sungguh memilukan.

Firash menarik Firuz merapatinya dan kepala gadis itu dilentokkan ke bahunya. Kemudian, tangannya membelai lembut rambut adiknya. Dia tahu apa yang dialami oleh Firuz namun hal itu berada di luar keupayaannya. Dia bukanlah doktor, apatah lagi pakar psikiatri. Dia sendiri tidak tahu bagaimana harus bertindak, setiap kali situasi seperti ini terjadi.

Sleep paralysis. Hanya dua perkataan itu yang diketahuinya. Menurut pakar psikiatri, itulah yang dialami oleh Firuz. Ia merupakan keadaan di mana seseorang itu tidak dapat melakukan pergerakan sama ada sedang tidur ataupun ketika hendak bangkit. Situasi itu merupakan perkara biasa dan hanya berlaku dalam jangka masa yang singkat. Sesetengah keadaan, sleep paralysis ini akan menyerang, memberikan tekanan seolah-olah sedang dicekik, dan menyebabkan kesesakan dalam dada orang yang mengalaminya.

Hal yang lebih teruk ialah seseorang itu berasa seperti benar-benar dekat dengan kematian. Kebiasaannya ketika sleep paralysis, seseorang itu tidak akan berupaya menjerit, bersuara mahupun melakukan pergerakan, sekalipun mereka telah bersungguh-sungguh mencubanya. Kemudian setelah beberapa ketika, dia akan berasa seperti baru sahaja bebas dari lumpuh, dan mungkin mengalami kelelahan dan seumpamanya. Antara isu yang dikaitkan dengan sleep paralysis ini ialah Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD), atau dikenali sebagai gangguan tekanan pasca trauma. PTSD adalah sebuah gangguan yang berlaku di kalangan mangsa yang pernah mengalami tekanan yang teruk seperti tornado, kemalangan kapal terbang, pengalaman hampir dengan kematian atau pertempuran.

Antara gejalanya termasuklah kebimbangan, insomnia, imbas kembali, dan mimpi buruk. Kebanyakan pesakit PTSD mengalami rasa bersalah yang berterusan kerana terselamat, dan kadang-kadang tidak dapat menumpukan perhatian atau menjalani kehidupan normal dan penuh kegembiraan sebagaimana orang lain.

10 minit berlalu. Firuz menarik nafas dalam-dalam. Tangisannya sudah reda, namun detak jantungnya masih laju, seperti gendang yang diketuk bertalu-talu. Apa yang dirasainya tadi bukanlah sekadar mimpi buruk, kerana dalam mimpi buruk, dia masih boleh tersedar dan bangkit duduk secara drastik. Namun tadi, badannya seolah-olah ditekan ke lantai. Matanya celik namun gelap-gelita seperti orang buta. Dia menjerit, namun tidak sedikitpun berhasil mengeluarkan suara. Hanya bunyi deraman sahaja yang kedengaran.

“Abang...,” panggilnya perlahan.

“Hmm?” Firash menoleh memandangnya dengan wajah yang penuh dengan persoalan.

“Adik okey. Abang pergilah tidur,” anak matanya menentang mata abang sulungnya itu.

Firash tidak terus menjawab sebaliknya cuba mencari kebenaran di sebalik kata-kata Firuz.

“Betul ni? Serius?” soalnya mahukan kepastian.

Firuz mengangguk. Sebenarnya dia berasa kasihan. Lena orang lain kadang-kadang terganggu kerananya. Lebih-lebih lagi Firash. Ada masanya jika keadaan teruk, Firash akan berjaga di sudut bilik dan memerhatikannya sehingga pagi. Bimbang jika keadaan seperti itu berulang kembali.

Firash memerhati wajah adiknya. Setelah yakin bahawa adiknya benar-benar tidak apa-apa, barulah dia bangkit dan berjalan menuju ke muka pintu bilik. Sekali lagi dia menoleh dan bertanya,

“Betul ni, adik tak apa-apa? Kalau rasa tak okey, beritahu abang,” ujarnya prihatin.

“Ya, betul. Adik okey. Abang pergilah tidur,” Firuz menampalkan secarik senyuman plastik di bibirnya.

Firash keluar dari bilik dan berlalu. Firuz kembali merebahkan badannya ke tilam. Di rumah mereka hanya ada satu katil bujang, itupun ditempatkan di bilik abang keduanya, Fareed. Manakala bilik lain hanya dibekalkan dengan tilam nipis yang menjadi alas tempat tidur. Namun itu bukanlah suatu masalah baginya. Mempunyai tempat berteduh sahaja pun sudah cukup membuatkannya bersyukur.

Pandangannya ditalakan ke arah lampu pijar, yang tergantung kemas di kayu yang menyokong bumbung rumahnya. Cahaya jingga itu tidaklah terang sebagaimana cahaya daripada lampu kalimantang. Namun ia memadai untuk menerangkan sesebuah ruangan yang kecil seperti biliknya.

Matanya memerhati segenap ruang. Dinding rumahnya yang diperbuat daripada papan itu kelihatan usang, namun untungnya ia masih utuh, tidak berlubang ataupun reput dimakan anai-anai. Rumah ini adalah satu-satunya peninggalan arwah ibu dan bapanya, selain daripada tanah kebun yang luasnya cuma sekangkang kera.

Sayu menjengah, melenyapkan rasa mengantuknya. Sebenarnya dia takut untuk kembali terlelap, kerana risau mimpi yang sama akan berulang lagi. Kali ini biarlah rasa mengantuknya itu ditahan sampai ke pagi. Bunyi suara orang sedang bercakap di luar bilik memaksanya memasang telinga. Bukan berniat mencuri dengar perbualan tersebut. Cuma risau kalau berlaku apa-apa yang tidak dijangka, setidaknya dia boleh bersedia.

“Dia buat apa lagi kali ni? Semaklah, orang nak tidur!”

“Dah, tak ada apa-apalah Angah. Janganlah marahkan adik. Dia sendiri pun tak minta semua ni berlaku,” kedengaran seperti suara Firash sedang menenangkan ketidakpuasan hati Fareed.

“Tak habis-habis dengan perangai mengadanya itu! Orang lain pun ada mimpi buruk juga, tapi tak adalah menangis sampai macam tu sekali, dasar manja!”

“Angah, jangan cakap macam tu. Kecil hati adik kalau dia dengar,”

Lama-kelamaan suara itu kedengaran semakin menjauh. Mungkin Firash telah menarik abang keduanya itu pergi, kerana bimbang dia mendengar perbualan mereka.

Pucuk hidungnya perit. Keperitan itu kemudiannya menjalar ke urat mata, membuatkan kolam matanya bergenang. Tiba-tiba dia berasa seperti kehadirannya menyusahkan semua orang terutama Firash. Abang sulungnya itu sudah banyak bersusah-payah deminya. Firash menggalas dua peranan, iaitu sebagai ayah dan juga abang. Melihat abangnya membanting tulang dan mengerah keringat demi menyara keluarga kecilnya, dia berasa bersalah. Kadang-kadang hadir bisikan hati yang menyatakan dia tidak sepatutnya wujud. Kewujudannya cuma menambahkan beban kepada orang lain. 

Astarghfirullahal’adzim..

Dia meraup wajah berkali-kali. Rasa bersalah, tidak berguna, tersisih dan tidak layak hidup itu antara perkara yang perlu dihadapi dan ditepisnya hampir setiap hari. Perasaan itu cuba digantikan dengan rasa bersyukur dan terharu apabila melihat pengorbanan yang dilakukan oleh Firash. Dia mengiringkan badan. Selimut nipis yang membaluti tubuhnya ditarik rapat ke dada, dan digenggam di hujungnya. Kali ini dia membiarkan sahaja air matanya gugur. Matanya dipejam rapat. Rapat-serapatnya seolah-olah tidak ingin lagi melihat dunia. Demi Tuhan, dia perlu bangkit dengan kekuatan yang masih tersisa. Entah bila lena datang, mengulit tidurnya dan mengusir semua rasa yang bersarang dalam dadanya tadi.

🀍 To Be Continue...

© All Rights Reserved

I'd love to hear your thoughts. Leave a comment below and feel free to drop your advice for the improvement πŸ˜‰

Share:

0 comments