DIA INSAN TERPILIH - BAB 5
"Assalamu'alaikum.. Ammar, kau kat mana tu?" soal Iqmal sejurus selepas panggilan yang didailnya dijawab.
"Maafkan saya, awak ni Encik Iqmal Harith, kawan kepada Encik Ammar Furqan ke?" nada yang formal, menambah kelajuan degupan jantung Iqmal.
"Ya...ya. Kenapa dengan kawan saya? Kenapa encik yang jawab? Kawan saya di mana?" bertubi-tubi soalan disoal oleh Iqmal.
"Bertenang.. Boleh Encik Iqmal datang ke Prince Court Medical Center sekarang?" soal suara yang menjawab panggilan itu tadi.
"Saya ada di sini sekarang." jawab Iqmal, menahan debaran. Dada dah rasa sesak.
"Sila datang ke wad CCU sekarang."
"Okay.. Saya datang sekarang." talian diputuskan.
Iqmal menapak laju, mencari kaunter pertanyaan yang terdekat. Fikiran asyik melayang, memikirkan apa yang terjadi kepada Ammar. 'Ya Allah.. Selamatkan sahabatku." rintih hatinya.
* * * * *
"Macam mana boleh terjadi? Salah siapa?"
"Rasanya salah pemandu lori tu.. Memandu lebih had laju."
"Kesiannya dia... Dia budak baik.. Muda lagi. Rajin pulak tu. Solatnya sentiasa di masjid. Menjadi imam, dan rutin hariannya menyampaikan tazkirah. Ramai yang suka dengan akhlak dia."
"Pada mulanya aku ingatkan dia tak pandai. Tapi selepas tengok dia buat tuisyen untuk pelajar sekolah, aku kagum. Gayanya bersahaja. Caranya sederhana. Tapi ilmunya. Masya-Allah. Malah tuisyen itu tak dikenakan apa-apa bayaran. Anak aku yang sertai tuisyen yang dibuat oleh dia. Dah makin rajin belajar. Alhamdulillah. Allah hadirkan insan sebegini.."
"Dia dah jadi contoh kepada anak muda yang lain. Sikapnya. Tutur katanya. Perlakuannya. Menarik hati anak muda untuk dekat dengan dia. Anak aku, dulunya kaki tak pernah jejak masjid. Sejak berkawan dengan dia, aku pulak yang diajaknya ke masjid. Alhamdulillah.."
Perbualan daripada beberapa orang lelaki dalam lingkungan umur 50-an menarik minat Iqmal.
"Assalamualaikum.. Pak cik." rendah suaranya memberi salam.
"Waalaikummussalam.. Anak ni siapa? Dan buat apa di sini?" soal mereka.
"Saya, Iqmal.. Saya datang sebab nak jenguk sahabat saya. Pak cik semua sembang tentang apa tadi?" matanya memandang baju setiap orang di hadapannya.
Baju yang masih terdapat kesan darah. Mungkin mereka membantu mangsa kemalangan. Kesan darah pun masih baru lagi. Hatinya direntap. Ammar..
"Anak tak tahu ke hal kemalangan petang tadi? Sebuah motosikal dengan sebuah lori?" salah seorang mula membuka cerita.
"Sewaktu dalam perjalanan ke sini. Saya ada ternampak ramai orang berkerumun. Saya agak,mungkin kemalangan. Tapi saya tak tahu siapa dan kemalangan melibatkan apa."
"Kemalangan melibatkan motosikal dan lori."
Iqmal senyap. Jarang penunggang motosikal mempunyai peluang untuk hidup kalau bertembung dengan lori. "Innalillahi wa inna ilaihi raji'un.." ucap Iqmal manakala semua pak cik memandangnya dengan pandangan yang aneh.
"Dia belum meninggal. Kenapa ucap macam tu?" soal pak cik yang memegang sebuah beg.
"Ucapan ni sering disalahertikan. Ucapan ini bukan diucapkan apabila berlaku kematian sahaja. Ucapan ini diucapkan apabila menghadapi apa jua musibah. Namun masyarakat kita mengehadkan ucapan ini. Hanya digunakan semasa berlakunya kematian. Apa jua ujian dan musibah, ucaplah perkataan ni." penerangan Iqmal membuatkan mereka mengangguk.
"Beg ni milik mangsa. Boleh kamu tolong pegang? Mangsa berumur sebaya dengan kamu. Mungkin kamu boleh tolong. Maklumkan kepada keluarganya." Beg diserahkan kepada Iqmal.
Huluran disambut. Beg di tangannya diperhatikan. Semacam pernah lihat. Tapi tak ingat di mana. Beberapa orang pak cik tadi mula melangkah pergi. Dah hampir masuk waktu maghrib. Langkahnya dihayun.. Menuju ke masjid.
"Apapun yang dilakukan.. Solat jangan ditinggalkan" teringat pesan Ammar.
* * * * *
Usai solat, dia duduk di atas sejadah. Kedua-dua tangannya diangkat. Memohon doa. Dengan penuh pengharapan. Air matanya berderai, tak sekalipun diseka. Memohon ketabahan dan memohon yang terbaik untuk Ammar. Hatinya merintih sayu. Terimbas kembali jawapan Ammar apabila ditanya,
"Kau tak pernah fikir pasal kahwin ke? Tak pernah sukakan seseorang ke?" soalnya.
Ammar tersenyum dan menjawab, "Aku belum mampu membahagiakan seseorang yang banyak berjasa terhadap aku. Aku belum mampu memadamkan kesedihan seorang wanita yang melahirkan aku, membesarkan aku. Aku juga belum berjaya mendapatkan redha dan restunya untuk seumur hidup. Jika semua itu belum mampu aku lakukan, mana mungkin aku mampu membimbing seseorang yang bakal hadir. Wanita pertama dan terakhir dalam hidup aku hanyalah ibu."
Jawapan itu membuatkannya terdiam. Termangu sendirian.
Sehelai kertas yang terselit di beg tadi menarik perhatiannya. Rasanya tak ada pula kertas yang terselit di beg sejak tadi. Dicapainya dan dibacanya. No. 5, CCU.. Mungkin bilik ini menempatkan pemilik beg ini. Alhamdulillah.. Mungkin ini juga adalah petunjuk. Sejadah dilipat dan segera dia menggalas beg. Mahu memulangkan beg itu kepada pemiliknya.
* * * * *
Pintu diketuk. Dari luar bilik, kelihatan beberapa orang doktor dan jururawat sedang sibuk. Proses membalut, membersihkan luka dan sebagainya dilakukan oleh para doktor dengan cekap. Seorang jururawat membuka pintu.
"Saya hanya nak memulangkan beg ni. Rasanya milik pesakit." beg dihulurkan.
"Nama Encik apa ya?" huluran beg tidak bersambut.
"Iqmal Harith" jururawat itu termangu seketika sebelum menjemput Iqmal untuk masuk.
Iqmal bingung. Mana boleh pelawat masuk sewaktu pesakit sedang dirawat. Mengapa jururawat tadi membenarkan? Dengan fikiran yang blur, kakinya tetap melangkah. Bau ubat-ubatan dan bau darah agak meloyakan. Kecederaan yang serius. Mujurlah dia tak mabuk dengan darah.
"Encik Iqmal.." seorang doktor bersuara.
"Kenapa membenarkan saya masuk?" soal Iqmal.
"Ini adalah permintaan pesakit. Beliau mahukan Encik yang temankan dia. Pembedahan akan dijalankan sebentar lagi. Mohon Encik memberikan kekuatan kepada dia. Kami akan cuba sedaya upaya untuk menyelamatkannya. Namun ketentuan Allah tak mampu dihalang." suara doktor kedengaran sangat sebak. Jururawat beralih, memberi ruang untuk Iqmal berada di sisi pesakit. Iqmal mengangkat wajahnya memandang pesakit.
Seolah-olah segala sendinya lumpuh, Iqmal terjelepok ke lantai. Dada terasa mahu pecah. Menanggung rasa sakit. Terasa separuh nyawanya melayang. Jiwa bagaikan berkecai. Segala luka pesakit seperti telah beralih kepadanya. Hanya nama Allah yang terucap di bibir.
"Encik.. Pesakit memerlukan kekuatan. Saya faham perasaan Encik. Tapi tolong tunjukkan bahawa kita kuat." mendengar kata-kata doktor, Iqmal cuba berdiri.
Dengan tangan yang berpaut pada katil. Iqmal berdiri di sebelah pesakit."Ya Allah..kuatkan aku."
Wajah pesakit ini tidak asing baginya. Dialah Ammar Furqan, sahabat yang berjanji untuk melangkah ke jannah bersama-sama. Dialah sahabat yang mengingatkannya tentang kewajipan sebagai seorang muslim. Dialah sahabat yang menariknya saat hati lalai dari mengingati Pencipta. Dialah sahabat. In sha Allah sebagai ahli syurga.
Ammar menggerakkan jarinya. Lemah dan jelas tak berdaya. Iqmal menahan perasaan sakit yang menggunung. Tak terungkap sakitnya melihat keadaan Ammar. Jika secalit luka di badan Ammar memberi kesan kepadanya, apatah lagi seluruh badan yang berbalut.
"Ammar.. Keep strong okay? Jangan lupa kau ada Allah.. Ada aku dan.. Kau ada ibu. Tolong kuat. Jangan mengalah. Kau cakap kau nak bahagiakan ibu. Kau cakap nak tengok dia senyum pada kau. Jadi kau tak boleh mengalah. Apapun yang jadi aku tetap ada untuk kau." suaranya bergetar hebat.
Mutiara jernih mengalir di pipi Ammar, diseka lembut oleh Iqmal. Dia tahu Ammar akan lakukan apa saja demi ibunya. Ammar akan kuat jika ibunya datang memberi semangat.
Kerdipan Ammar dah cukup membuatkan Iqmal faham. Ya.. Ammar, seorang yang tabah. Dan Allah mencintai orang-orang yang sabar. Siapa lagi yang diharapkan selain Allah Yang Maha Agung?
Sebagaimana firmanNya,
"Cukuplah Allah bagiku...tiada Tuhan selain Nya.Hanya kepada Allah aku bertawakal dan Dialah yang memiliki arasy yang agung.."[At taubah : 129].
"Masa pembedahan semakin hampir. Pesakit perlu dipindahkan ke bilik bedah." ujar doktor seraya bergegas menolak troli keluar dari bilik. Doktor dan jururawat bergegas keluar, meninggalkan Iqmal sendirian. Tangisan yang ditahan sejak tadi dilepaskan. Hanya Allah yang mengetahui sejauh mana kasihnya pada Ammar, sahabat yang dianggap sebagai abang.
* * * * *
Pintu dibuka. Puan Azizah, Angah dan Iqmal menapak masuk menghampiri Along yang terlentang di katil. Dah tiga hari Along koma. Tiga hari itu jugalah Puan Azizah berendam dengan air mata. Dia duduk di sisi katil, menggenggam erat tangan Along. Air matanya mengalir laju.
"Along.. Bangunlah. Ibu dah tahu semua pasal Along. Iqmal dah ceritakan semuanya. Maafkan ibu, Along.."
Angah turut serta menangis. Iqmal meraup muka. Kasihan pula melihat Puan Azizah. Dia tak tahu apa-apa. Disebabkan fitnah, dia membenci Along.
Along menggerakkan jemarinya. Perlahan-lahan mata dibuka. Melihat wajah ibu, bibirnya cuba mengukir senyum walaupun payah. Dia tak mahu berkerut menahan sakit di hadapan ibu. Dia mahu kelihatan kuat.
"Along.. Maafkan ibu. Ibu tahu ibu salah. Ibu terlalu percayakan cakap orang sampai ibu tak nampak semua kebaikan Along. Disebabkan kata-kata orang, ibu membenci Along. Maafkan ibu.. Along."
Along senyum lagi. Hanya Allah yang tahu betapa lapangnya hati apabila melihat wajah ibu. Betapa gembira apabila ibu menggenggam tangannya. Satu sahaja, ibu menangis. Dia dah berjanji pada diri.. Takkan benarkan ibu menangis.
"Ibu... Jangan.. Menangis. Along tak pernah.. Marah ibu. Cuma Along rindu... Waktu ibu marah Along.. Apabila Along buat salah. Along rindu... Waktu ibu bertanyakan khabar Along. Tapi.. Ibu... Jangan risau. Semua tu dah langsai.. Ibu ada di sisi Along sekarang. Itu dah memadai. Maaf... Along bukanlah anak yang soleh. Along tak mampu.. Buat ibu bangga. Along tak berpendidikan tinggi. Along tak berhak berkecil hati dengan ibu. Jasa ibu terlalu besar. Melahirkan, membesarkan Along. Along tak berhak minta apa-apa."
Mendengarkan kata-kata Along itu, tangisan ibu semakin lebat. Iqmal menahan sebak. Jika dia berada di tempat Along, belum tentu dia akan jadi macam tu. Sememangnya,dia insan terpilih.
* * * * *
Puasa tahun ini berakhir pada hari Jumaat. Dua hari lagi berbaki. Di saat semua orang bergembira, ada insan yang sedang menderita dan berjuang mempertahankan nyawa. Along semakin ceria. Apabila Iqmal bertanya, jawapannya hanya satu..
"Aku gembira sebab hari Jumaat, adalah hari lahir ibu. Aku akan hadiahkan sesuatu kepada ibu. Dan semoga aku kekal dalam ingatannya."
"Kau nak hadiahkan apa?" soal Iqmal tertanya-tanya.
"Sesuatu yang menceritakan semua perasaan aku. Luahan hati aku.. Benda tu sama saja dengan hati aku. Hadiah itulah aku akan berikan kepada ibu." Along senyum lagi.
Iqmal terdiam.. Voice recorder ke apa ni? Ermmm.
Dia cukup kagum dengan Ammar. Apabila masuk waktu solat, dia berusaha menunaikannya. Dan sebelum melelapkan mata, al-Quran menjadi lagu kegemarannya. Senyuman menjadi sedekah. Qiamullail menjadi rutin. Wajah ceria Ammar menghilangkan resah di hatinya. Ammar adalah satu-satunya sahabat yang dia ada. Yang mengingatkannya kepada Yang Esa.
* * * * *
"Along nak apa? Ibu akan buatkan." begitulah Puan Azizah setiap kali menjaga Along.
Apa jua permintaan Along akan ditunaikan sedaya upaya, semampu yang mungkin. Cukuplah selama ini Along diabaikan.
"Along nak ibu senyum, ibu bahagia.." hanya itu permintaan Along setiap kali ditanya.
Tatkala Along minta untuk disuapkan makanan, naluri keibuannya terasa sesuatu. Bukan meluat, tetapi satu perasaan yang tak dapat diungkap. Bahagia??
"Iqmal.. Meh sini kejap." panggil Along.
Iqmal menurut. Dia duduk di sebelah Along. Apabila Puan Azizah menapak keluar dari bilik, Along bersuara.
"Aku nak pesan something. Tapi mohon jangan gelak."
Iqmal mengerutkan dahi.. Apakah? Dia mengangguk.
"Dalam perjalanan ke pejabat kau.. Kau akan jumpa satu warung, kan?"
Angguk lagi.
"Kat situ kau akan jumpa seekor kucing. Warna kelabu. Setiap pagi dan petang dia akan tercegat di depan warung tu. Aku nak mintak tolong, boleh?"
Iqmal mengangguk. "Tolong apa?"
"Setiap pagi dan petang, tolong singgah dan beri makan pada dia. Boleh kan?"
Mendengar permintaan Ammar, matanya berkaca. Ammar dipeluk seeratnya. Air matanya menitis.
"Kenapa dengan kau?" soal Along, pelik dengan tindakan Iqmal.
"Terima kasih sahabat." hanya itu yang terluah. Berterima kasih kerana Ammar mengajarnya apa erti kehidupan.
* * * * *
Hari yang ditunggu tiba jua akhirnya. Selesai membaca surah al Kahfi, Along mencapai sebuah beg kertas. Senyuman menghiasi bibir pucatnya. Baju untuk ibu, Angah, Achik dan Adik. Dicatat sesuatu ke atas kertas kemudian diselitkan ke dalam beg kertas berisi baju. Hadiah untuk ibu, sedikit istimewa berbanding hadiah untuk adik-adiknya. Hadiah yang dirahsiakan daripada Iqmal turut disertakan bersama baju untuk ibu.
Badannya terasa sejuk. Matanya pula seakan-akan menahan rasa mengantuk yang amat. Puan Azizah, Iqmal dan Angah melangkah masuk. Along melemparkan senyuman paling manis. Ibu mengambil tempat di sebelah Along. Along menggenggam tangan ibu, manakala matanya tepat memandang mata ibu.
"Ibu... Selamat hari lahir. Dan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri. Along minta maaf semua dosa Along pada ibu. Hadiah untuk ibu dan adik-adik." beg berisi pakaian diserahkan kepada ibunya.
Air mata seorang ibu tumpah. Sebak tak terkata.
"Apa permintaan Along hari ini?" soalnya seperti biasa.
"Permintaan Along hari ni.. Agak banyak. Along mohon ibu halalkan segala makan minum Along, segala susah payah ibu membesarkan dan mendidik Along. Dan yang terakhir kalau boleh, Along nak ibu cium dahi Along, sebagaimana ibu selalu cium dahi Angah, Achik dan Adik." mata Along berkaca meskipun wajahnya kekal tenang.
"Ibu dah halalkan segala makan minum Along. Dan ibu redha dengan kehidupan Along."
Saat ibu mencium dahi Along, Angah mula teresak. Iqmal menunduk. Along menangis dalam senyum.
"Terima kasih.. Ciuman ibu, dan redha ibu... Dah cukup untuk Along." nafasnya mula tersekat.
"Along mengantuk sangat. Maafkan Along ya? Tak dapat teman ibu?" tangan mula dingin, pucat tak berdarah.
Ibu mengangguk.
"Tidurlah Along.. Rehatlah secukupnya dan tunggu ibu di pintu syurga."
Genggaman Along semakin lemah. Ibu membisikkan kalimah syahadah, diikuti oleh Along. Meskipun tersekat-sekat, Alhamdulillah kalimah tersebut berjaya disebut. Matanya tertutup perlahan-lahan. Akhirnya terpejam rapat dengan wajah tenang, sedingin salju.
"Innalillahi wa inna ilaihi raji'un".
Persiapan untuk pengebumian jenazah dimulakan. Ibu bapa Iqmal turut hadir. Menatap wajah yang telah mengajarkan kepada anaknya apa erti kehidupan.
* * * * *
Pagi syawal...
Semua orang mula melangkah meninggalkan tapak perkuburan. Puan Azizah, Angah, Iqmal dan kedua ibu bapanya masih setia, menghadiahkan al Fatihah dan Yasin.
"Tunggu ibu di syurga" ujar ibu. Diari pemberian Along telah dibacanya semalam. Meruntun jiwa...
Iqmal memandang langit. 'Ammar, aku dah ambil kucing tu dan jadikan sebagai haiwan peliharaan aku.' hatinya berbicara. Segala perbelanjaan untuk pengajian Angah, Achik dan Adik akan ditanggung oleh ibu bapa Iqmal. Syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi.
"Dia insan terpilih.." serentak hati masing-masing berbicara.
π€ Tamat.. π€
Tags:
CERPEN
0 comments