DIA INSAN TERPILIH - BAB 2
"Assalamualaikum.." satu suara kedengaran dari halaman rumah.
Along bangkit dan keluar untuk menjenguk. Kelihatan adiknya tercegat dengan memegang sebuah beg pakaian. Dah balik. Aliya menghulurkan tangan, bersalam dengan abangnya. Along mengangkat beg adiknya masuk ke dalam sambil langkahnya mengekori Aliya ke dapur.
"Ibu..." mendengar suara yang ditunggu-tunggu, Puan Azizah memeluk Aliya kemudian mencium dahi anak keduanya itu.
"Rindunya ibu pada Angah. Angah pun jarang-jarang saja telefon ibu. Waktu tiada duit dan ketika ada masalah saja. Ibu rindu nak dengar khabar Angah tau." mata ibu berkaca.
Beg diletakkan ke lantai. Along sekadar memerhati gelagat ibu dan adiknya. Hatinya puas kerana dapat melihat senyuman dan raut wajah ibu yang ceria. 'Ibu.. Along harap sangat, suatu hari nanti ibu akan cium dahi Along. Usap rambut Along. Sekali seumur hidup dah memadai ibu' hati kecilnya berkata.
* * * * *
Semua berkumpul di meja makan. Angah sampai di rumah tengah hari tadi. Manakala Achik dan Adik sampai pada lewat petang tadi. Ibu tersenyum lebar. Memerhati satu per satu wajah anak-anak. Bermula daripada Angah, Achik dan Adik. Along menunduk seketika. Ibu langsung tidak memandangnya. Kolam mata mula bertakung. Sebak. Bibirnya mengukir senyum, tapi hambar. Ditahannya supaya air mata tidak gugur di hadapan ibu.
Angah, Achik dan Adik rancak berbual mengenai pengalaman masing-masing. Angah bercerita tentang kehidupannya di United Kingdom. Manakala Achik dan Adik bercerita tentang kisah di asrama. Kadang-kadang ibu tergelak mendengar cerita Angah. Achik pula sememangnya pandai membuat lawak, menghiburkan hati ibu. Adik masih dengan sikap manjanya yang menawan hati ibu.
Sepanjang perbualan ibu dan adik-adiknya, Along tidak bersuara walaupun sepatah kata. Kekal membisu dan terus-terusan memandang ibu. Entah kenapa, hatinya digamit untuk memandang ibu sepuas-puasnya.
'Kalau dengan cara Along berdiam diri itu membahagiakan ibu... Along akan terus macam ni. Melihat senyuman di wajah ibu sudah cukup menenangkan Along. Along takkan biarkan segaris duka pun ada di wajah ibu. Along sayang ibu, dunia akhirat' hatinya berbicara, biarpun mulut terkunci tanpa suara.
* * * * *
"Angah, macam mana nak selesaikan soalan ni? Susahlah.. Achik dah pening ni." Aiman, atau nama panggilan manjanya Achik menggaru kepalanya yang tidak gatal.
Dari tadi soalan matematik tambahan itu cuba diselesaikan namun jawapan yang ditemuinya tidak tepat dengan skema yang disediakan.
"Angah sibuk ni.. Cubalah tanya Along." Aliya ataupun nama manjanya Angah, menghadap komputer ribanya tanpa menoleh sedikitpun memandang Achik.
Assignment masih banyak yang perlu dibereskan. Pertanyaan Achik dibiarkan tidak berjawab. Matanya terus menatap komputer riba. Fokus. Along yang sedang asyik menonton televisyen mengalihkan pandangan. Memandang Achik yang termangu sendirian. Kasihan pula kepada adik lelakinya ini. Achik akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini. Dan harapannya, Achik akan memperoleh keputusan yang cemerlang, bukan sepertinya. Sayu menjengah sekali lagi.
"Along boleh ke ajar Achik?" soal Aiman sangsi.
Along senyum. Dia bangun dari sofa dan duduk di sebelah Achik. Ohh. Matematik Tambahan. Subjek bermasalah di setiap sekolah.
"Along tak sehebat Achik dan Angah. Tapi izinkan Along cuba eah? Achik mantap. Along setakat tahu rumus je. In sha Allah, Along tolong selesaikan." Along mengusap kepala Achik.
Pen beralih tangan. Along fokus, menyelesaikan soalan tersebut semampu yang boleh. 10 minit kemudian, Along melepaskan pen. Fuhh.. berbisa jugak soalan ni. Lima soalan sudahpun siap. Buku diletakkan di hadapan Achik.
"Cuba semak jawapannya," suruhan Along disambut malas oleh Achik.
Soalan satu.. Betul. Beralih ke soalan dua dan seterusnya. Achik terlopong. Memandang Along dengan penuh rasa tak percaya. Along dan buku dipandang silih berganti. Mak aih...Terror nya Along. Semua jawapan betul dan tepat dengan kehendak skema.
"Apa tengok buku ngan Along ni? Muka Along sama dengan buku ke?" Along tergelak melihat Achik yang kebingungan.
"Along.. Ajar balik apa yang Along tulis tadi. Cara nak selesaikan soalan tadi. Along macam mesin fotostat la. Sebijik sama ngan skema. Seolah-olah Along ni buku." Achik mulai teruja.
Along memulakan sesi pengajaran. Bermula dari awal. Hingga memperoleh jawapan. Achik mendengar dengan penuh fokus. Tak sangka Along bijak sebenarnya. Perghh.. Wira yang tak diketahui kehebatannya!
Along senyum sendiri. Selama ini Achik tak pernah bertanyakan apa-apa soalan kepadanya. Dia tahu semua ini disebabkan keputusan SPM nya. Dia tidak menjadi sumber rujukan adik-adiknya. Aina, adik perempuannya yang bongsu juga mengharapkan Angah. Angah menjadi kebanggaan ibu. Setiap kali orang bertanyakan tentang Angah, ibu akan senyum sampai ke telinga.
Sesekali Angah menjeling Achik dan Along dengan ekor matanya. Ermmm...biarlah.' Sesekali Along kenalah jalankan tanggungjawab, jadi abang yang baik. Bimbing adik-adiknya' getus hatinya.
* * * * *
"Assalamu'alaikum.. Jah...Oo..Jah."
Along membuka pintu dan menjenguk ke luar. Ermmm.. Puan Hasmah dan Puan Aini rupanya.
"Ibu kamu ada, Ammar?" soal Puan Hasmah.
"Ada je.. Jemputlah masuk" jawab Along sopan seraya membuka pintu.
Setelah Puan Hasmah dan Puan Aini melangkah masuk, Along segera ke dapur. Menjadi kebiasaannya untuk menghidangkan air kepada tetamu yang datang. Dalam Islam juga menuntut kita menghormati tetamu dan melayani mereka dengan baik.
Daripada Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah saw bersabda, "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat maka janganlah ia menyakiti tetangganya.Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat maka hendaklah ia berkata yang baik ataupun diam" [HR Muslim]
Semasa hendak ke dapur, Along berselisih dengan ibu. Ibu langsung tidak memandangnya. 'Tak mengapa. Ibu yang jaga aku dari kecil. Dan aku tak berhak nak berkecil hati dengan perkara kecil macam ni.' pujuk hatinya.
* * * * *
"Semua anak-anak kamu balik ya? Puasa kat rumah?" soal Puan Aini.
Along memandang ibu di sebalik dinding. Ibunya tersenyum. Senyuman ibu menghakis semua rasa lelahnya. Baru hendak melangkah, kedengaran suara bertanya kepada ibu.
"Anak sulung kau apa cerita? Sepatutnya dia yang jadi contoh kepada adik-adik. Ini tidak. Si Aliya pulak yang jadi contoh kepada Aiman dan Aina." Puan Hasmah bersuara.
"A'aa.. Jah. Kalau dibiarkan, entah apa lagi yang dia akan lakukan. Entah-entah berkawan dengan budak-budak nakal. Budak sekarang bukan boleh percaya."
"Kalau dia bagi duit kat kau, hati-hatilah sebelum kau terima. Entah kerja apa yang dia buat. Hishh.. Budak sekarang memang tak boleh percaya." Puan Aini menambah.
Along mengucap panjang. Begitu sekali tanggapan orang kampung terhadapnya. Hanya kerana keputusan peperiksaan tidak cemerlang. Hanya kerana dia bekerja kampung. Maruahnya diinjak-injak. Dia tidak kisah jika dihina atau diumpat. Namun dia bimbang ibu akan terguris dengan fitnah orang kampung. Along melangkah sambil menatang dulang berisi air. Penuh santun dia meletakkan gelas dan menuangkan air ke dalam gelas. Bibirnya tetap merekah mengukir senyuman meskipun Puan Aini dan Puan Hasmah baru saja bercakap perkara yang tidak benar tentangnya.
Along berlalu ke bilik. Teringat pesanan Iqmal, kawan yang menjadi naqibah usrah yang disertainya.
"Orang mukmin perlu menjauhi sebarang buruk sangka, cela-mencela, umpatan atau fitnah serta lain-lain perkara yang menyakiti orang lain."
'Tak mengapa. Aku ada Allah sebagai pembela' pujuk hatinya.
* * * * *
Seminggu berlalu..
Achik dan Adik sudah kembali ke asrama. Sesi persekolahan sudahpun bermula. Hanya Angah dan dia saja yang ada di rumah menemani ibu. Dia pula selalu keluar. Pagi menghilang, malam baru balik ke rumah. Ibu langsung tak bertanya khabarnya.
'Tak mengapalah ibu'. Jauh di sudut hatinya dia ingin ibu memarahinya jika ada kesalahan, ingin ibu berleter dan menegurnya. Terngiang-ngiang kata-kata Adik sewaktu dia menghantar Adik dan Achik ke asrama.
"Abang, lain kali tak perlu dah hantar Adik. Adik malu bila orang tanya. Along kerja apa, belajar kat mana.."
Sungguh.. Hatinya terguris. Perasaannya terhiris. Namun dia tak salahkan Adik. Adik mungkin belum faham. Dan jika dia di tempat Adik pun, mungkin dia akan berbuat perkara yang sama.
'Adik.. Selagi Along ada, selagi Allah izinkan Along lindungi keluarga kita. Along akan jalankan tanggungjawab sebaik mungkin. Maafkan Along kerana tak berjaya menjadi abang yang baik. Dan abang yang boleh dibanggakan. Maafkan Along'.
π€ Bersambung.. π€
0 comments