Cik Tinta's

20 Tahun yang lepas….

Keriuhan itu semakin lama semakin jelas kedengaran di cuping telinganya. Susah payah kelopak matanya cuba dibuka, meskipun kantuk masih bersisa. Dengan terpisat-pisat dia bangkit dari tilam nipis yang menjadi alas tidurnya, kemudian meraba-raba dalam kegelapan mencari arah jalan keluar dari bilik kecil itu. 

Sesampainya di satu sudut sebelum masuknya ke ruang tamu, dia menenyehkan matanya menggunakan hujung jari telunjuknya yang halus, cuba menghilangkan rasa mengantuk dan mamai. Ibu? Meskipun keadaan gelap, dia masih dapat mengecam wanita yang berada di ruangan tersebut. 

Namun sebaik sahaja dia melangkah ke ruang tamu untuk mendapatkan ibunya, tubuhnya tertolak dengan kuat sehingga terhentam pada dinding kayu dan terjelepok di lantai. Cecair pekat dan hangat terpercik ke wajahnya, dan susuk tubuh yang dilihatnya tadi jatuh longlai tepat di hadapannya. Dia kaku. Tidak mengeluarkan sebarang bunyi. Rasa terkejut membungkamkannya. Jantungnya terasa mengecut.

Dalam gelap, dia meraba-raba objek yang berada di hadapannya. Bermula dari jari jemari, kemudian lengan, bahu dan leher. Leher? Kali ini jantungnya bukan lagi mengecut bahkan terasa hampir luruh. Ya! Di hadapannya ini adalah jasad manusia tanpa kepala! Segera dia mengangkat tangannya daripada terus menyentuh tubuh tersebut, dan berundur ke belakang dengan mengesot. Kali ini esakannya tidak lagi dapat ditahan. Dadanya terasa sempit, dan pernafasannya seolah-olah terhalang oleh sesuatu yang tersekat di kerongkong. Dia terus-menerus mengesot menjauhi tubuh yang disentuhnya tadi.

Dengusan kasar yang kedengaran di ruangan itu cukup memeranjatkannya. Bunyi itu semakin mendekat, dan saat ini dia hanya mampu duduk di lantai, merapatkan lutut ke dada dan menekup kedua-dua belah telinga. Rasa gerun mula menjalar ke seluruh urat darahnya. Bunyi dentuman dan hentaman masih kedengaran meskipun telinganya sudah ditekup dengan kedua-dua telapak tangannya. Sesekali kedengaran seperti dua ekor binatang buas yang bertarung mati-matian demi mendapatkan mangsanya. Selepas beberapa ketika, terdengar jeritan nyaring, disusuli dengan erangan seperti seseorang sedang menahan kesakitan, dan tidak lama kemudian keadaan kembali sepi, cuma nafas lelah sahaja yang kedengaran. Perlahan-lahan dia menurunkan kedua-dua belah tangannya dan berdiri. Pandangannya diarahkan ke ruang tamu. Bibirnya serta-merta memucat disertai dengan getaran hebat yang ditahan dalam dada.

Tidak jauh di hadapannya, dalam samar-samar kelihatan susuk tubuh seorang lelaki dewasa sedang pegun berdiri, dan di tangannya terdapat sebilah pisau. Hujung mata pisau disaluti cecair pekat yang menitis setitik demi setitik ke lantai. Kakinya hendak melangkah, namun serentak itu juga tubuhnya dipeluk erat dari belakang, dan mulutnya ditekup kemas bagi memastikan tiada suara atau bunyi yang dikeluarkan. Niatnya untuk meronta dibatalkan apabila anak matanya tertancap pada susuk tubuh dua manusia yang terbaring lemah di lantai. Serta-merta tubuhnya menggigil. Bau hanyir darah yang masih segar perlahan-lahan menusuk ke rongga pernafasannya, membuatkan tekaknya terasa kembang dan loya. 

Ketakutan mula menyelubungi dan hampir sahaja pundi kencingnya menitiskan air, apabila lelaki yang berdiri tadi mengalihkan pandangan ke arahnya. Kakinya ingin membuka langkah dan segera berundur dari situ, namun seluruh ototnya terasa membeku dan melembik seakan-akan jeli. Tangan yang tadinya menekup kemas mulutnya tiba-tiba memegang erat tangannya, dan menariknya untuk segera beredar dari situ. Air mata yang merembes ke pipi tidak diseka. Kakinya terus menapak menuruti langkah entah siapa yang memegang erat tangannya saat ini, tanpa menoleh ke belakang lagi. Saat ini, nyawanya lebih penting.

-  -  -  -  -

Mereka berlari keluar dari rumah melalui pintu belakang. Tanpa sempat memakai selipar, dua pasang kaki itu terus meredah kepekatan malam dengan hanya berkaki ayam. Ternyata ketakutan yang dialami melenyapkan rasa sakit di telapak kaki mereka akibat berpijak pada batu-batu kecil yang tajam, dan duri-duri halus yang tumbuh di sepanjang perjalanan. 

Sesekali, mereka menoleh ke belakang bagi memastikan lelaki tadi tidak mengekori mereka namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila terlihat kelibat lelaki tadi berada tidak jauh di belakang, kira-kira 300 meter sahaja dari mereka.

Langkahnya terhenti apabila genggaman yang kemas tadi terlerai. Dia tercengang. Kenapa? Lelaki yang mengekori mereka tadi semakin mendekat. Gemuruhnya tidak dapat dikawal lagi. Bibirnya bergetar, tidak mampu menuturkan kata-kata, walau hanya dengan berbisik. Suaranya seolah-olah tenggelam.

“Adik, pergi dulu. Abang akan datang nanti,” insan yang menarik tangannya tadi bersuara. Suara itu kedengaran lelah dan penat, dengan bunyi hembusan nafas yang tidak sekata akibat larian. 

“Tak nak. Jangan tinggalkan adik,” ujarnya separuh merayu agar tidak ditinggalkan sendirian di situ.

“Tak, abang takkan tinggalkan adik. Janji. Abang akan datang nanti. Abang kan lari laju. Adik lari, dan bersembunyi. Nanti abang sampai,” kata-kata tersebut berbaur pujukan bercampur arahan.

“Tapi..,” kali ini matanya terasa panas, dan hidung mulai perit. Rasa takut dan risau saling bertingkah.

“Tolong dengar cakap abang. Dah, pergi sekarang,” tubuhnya dipusingkan dan ditolak perlahan ke hadapan, isyarat supaya arahan itu dituruti dengan segera.

Dengan perasaan yang berbelah bahagi, dia meneruskan langkah. Kehendak hati memaksanya untuk kembali mendapatkan abangnya, manakala akal pula menggesanya untuk terus berlari dan mematuhi permintaan abangnya. Dua keputusan yang bercanggah, membuatkan dirinya semakin gundah. Akhirnya dia memutuskan untuk meneruskan larian, setidak-tidaknya dia perlu berusaha mendapatkan bantuan.

Jeritan yang berulang-ulang kali memanggil namanya tidak dipedulikan. Telinganya dipekakkan, hanya mata sahaja yang cuba ditajamkan, kerana mengharungi kegelapan malam adalah lebih sukar daripada yang dibayangkan. Tambahan pula tangannya kosong, tidak ada lampu suluh atau sebarang objek yang boleh mengeluarkan cahaya dan mampu membantunya melihat keadaan sekeliling. 

Bulan seolah-olah menyembunyikan diri. Dia mendongak ke langit. Kelam tanpa cahaya, hitam sepekat-pekatnya. Kerlipan bintang juga tidak begitu kelihatan. Ini menandakan hujan bakal turun tidak lama lagi. 

Sebelum perjalanannya menjadi lebih sukar kerana hujan lebat bercampur kepekatan malam, lebih baik dia terus mengorak langkah. Sekurang-kurangnya mencari tempat persembunyian untuk melegakan kelelahan.

Acapkali dia tersadung dan tersungkur ke tanah, namun segera bangkit, dan terus berjalan meskipun dalam keadaan terhinjut-hinjut. Pedih di telapak kaki mula terasa, namun itu tidak cukup untuk menghentikan langkahnya. Sesekali wajahnya ditampar dedaun kasar yang merintangi jalan yang dilaluinya. Larian tadi diganti dengan berjalan, kerana matanya tidak mampu menangkap apa-apa objek di hadapannya. Sambil berjalan, tangannya menggagau sekeliling. Kosong. 

Kakinya dapat merasakan dia sudah semakin hampir dengan jalan besar. Segera dipercepatkan langkahnya dan akhirnya dia sampai di jalan bertar. Tiada lampu jalan yang menerangi sekeliling. Tiada juga bunyi kenderaan yang melalui kawasan tersebut. Dia berjalan lemah sambil menunduk. 

Tiba-tiba terdengar enjin kereta, disusuli cahaya daripada lampu kenderaan, yang menyilaukan pandangannya. Sebuah kenderaan menuju ke arahnya. Dia tergamam, dan hanya mampu menahan silau dengan tangan. Kakinya terasa seperti digam. Tidak mampu bergerak walau seinci pun.

Bammm!!!!!

-  -  -  -  -

Suasana di sekitar rumah itu agak tegang dan riuh-rendah. Di halaman rumah, kelihatan tiga orang kanak-kanak duduk bersama seorang lelaki dan wanita dewasa, yang kedua-duanya berusia dalam lingkungan lewat 30-an. Tidak jauh daripada mereka, seorang wanita muda duduk di atas tanah, memeluk erat anak lelakinya sambil mengongoi. Esak tangisnya memenuhi ruangan tersebut. 

Pagi ini kelam. Matahari yang sepatutnya terbit memancarkan sinar masih tidak kunjung tiba. Hanya awan kelabu sahaja yang berarak perlahan memenuhi dada langit, menjadikan cuaca mendung dan suram.

Sejak awal pagi tadi, kawasan rumah itu dikerumuni oleh penduduk kampung setelah masing-masing mendengar siren kereta peronda polis masuk ke kawasan tersebut. Pegawai pertama yang tiba di kawasan tersebut awal pagi tadi telah membuat pengenalpastian terhadap mangsa, saksi, suspek dan beberapa pihak lain yang terlibat. Individu yang dikenal pasti telahpun diasingkan daripada kelompok lain. Situasi sebenar juga telah dikenal pasti, dan pegawai yang terlibat kemudiannya menentukan sempadan tempat kejadian.

Setelah pengenalpastian dilakukan, mereka melakukan pembersihan tempat kejadian. Pihak yang tidak terlibat seperti pemerhati, jiran-jiran, penduduk kampung dan petugas media telah diminta untuk memberikan kerjasama dengan tidak melintasi pita penghalang kuning yang dipasang sebagai tanda perimeter luar. 

Tujuan pembersihan kawasan tempat kejadian adalah untuk mengenal pasti suspek, mangsa atau saksi tambahan. Ada juga di kalangan penduduk yang berkeras hendak memasuki kawasan perimeter, namun segera dihalang oleh pegawai peronda yang bertugas. Hal ini kerana bukti jenayah berpotensi tercemar atau dimusnahkan setiap kali seseorang memasuki tempat kejadian. Boleh jadi juga bukti-bukti tersebut dikeluarkan atau dipindahkan ke tempat lain sekiranya terdapat campur tangan orang luar. Pita penghalang kuning yang dipasang sebagai perimeter kawasan kejadian pula bertujuan untuk menjelaskan kepada orang luar atau pihak media, mengenai tempat yang dibenarkan dan tempat yang tidak dibenarkan.

Mayat mangsa telahpun diuruskan oleh pihak kakitangan perubatan, dan dibawa ke hospital untuk bedah siasat. Hanya terdapat sejumlah pihak sahaja yang masih berada di tempat kejadian antaranya ialah pegawai peronda, detektif dan penyiasat tempat kejadian jenayah. Beberapa orang pegawai peronda masih berada di tempat mereka iaitu berhampiran dengan perimeter, bagi memastikan situasi dalam keadaan yang terkawal dan kawasan tempat kejadian bebas daripada sebarang pencerobohan. 

Para penyiasat tempat kejadian pula sibuk dengan tugas mereka, iaitu mendokumentasikan tempat kejadian, mengenal pasti bukti-bukti kukuh yang benar, memproses dan mengumpul bukti, mengemukakan bukti, dan menyediakan laporan bertulis berserta bahan sokongan tambahan. Antara yang turut sama membantu penyiasat tempat kejadian adalah jurugambar, iaitu orang yang berperanan melakarkan tempat kejadian, mendokumentasikan darah, mendokumentasikan metode jenayah serta cap jari. Manakala di satu sudut, dua orang detektif sedang duduk berlutut di hadapan salah seorang daripada tiga kanak-kanak tadi. Mereka ditugaskan menemu bual saksi dan mangsa, kemudian bekerjasama dengan penyiasat tempat kejadian bagi memastikan kenyataan dan maklumat yang diberikan oleh pihak yang terlibat adalah konsisten dengan bukti di tempat kejadian.

Wajah kanak-kanak perempuan yang duduk menghadap dua orang detektif itu terlihat bingung sekaligus ketakutan. Bingung dengan keadaan dan situasi yang tidak sedikitpun difahaminya, dan takut dengan apa yang disaksikan dan dihadapi pada malam tadi. Pandangannya lurus ke satu sudut, dan matanya mula membening. Air mukanya berubah, dan wajahnya disembamkan ke dada lelaki dewasa yang meribanya. 

“Aa.. Ay.. Ayah..,” suaranya perlahan tetapi masih boleh didengari.

Dua orang detektif yang duduk bersama mereka dari tadi saling berpandangan. Ayah? Tanpa ada yang menyedari, sepasang mata sedang memerhatikan mereka dari jauh sejak awal pagi tadi. Diam dan pegun. 

๐Ÿ–ค To Be Continue ๐Ÿ–ค

© All Rights Reserved

Note : Special Chapter adalah bab yang menjadi kunci kepada keseluruhan cerita.

Waktu rehat bermula bagi pelajar sesi menengah bawah. Masing-masing mula berpusu-pusu ke kantin, mengisi perut sebelum meneruskan sesi pembelajaran yang seterusnya. Firuz melangkah keluar dari kelas 1 Mawar, menuju ke tangga untuk turun ke kantin yang terletak di aras bawah. 

Tiba-tiba bahunya direnggut kasar, dan beberapa orang pelajar lelaki menariknya masuk ke salah satu bilik darjah kosong yang tidak lagi digunakan dan kini dijadikan stor. Pintu dan cermin tingkap ditutup rapat bagi memastikan pelajar lain tidak masuk campur atau melaporkan hal tersebut kepada guru. Salah seorang daripada lima pelajar lelaki tadi menghampirinya dengan lagak yang sombong. Firuz mengundur ke belakang setapak demi setapak apabila lelaki tersebut semakin mendekat.

“Kenal aku lagi tak?” soal lelaki tersebut. Kedua-dua tangannya diseluk ke dalam kocek seluar. 

Firuz diam. Soalan yang ditanya itu dibiar tidak berjawab. ‘Irwan’. Tanda nama di kemeja lelaki itu diliriknya sekilas. Firuz menarik nafas dalam, mengumpul kekuatan untuk bertenang. Walhal seluruh badannya mula berpeluh sejuk, menahan debaran. 

“Buat apa kau datang tunjukkan muka dekat sini? Bukan minggu lepas aku dah suruh berambus ke? Kau ni pekak ke apa?” suara Irwan keras dan mula meninggi.

Firuz tetap membisu. Bibirnya diketap kuat. Wajahnya dikalih ke sebelah, tidak ingin menatap wajah Irwan. Wajah itu cukup tegang manakala rakannya yang lain hanya memandang.

“Hei, aku bercakap dengan tunggul ke? Dah bisu? Kalau aku tanya, jawablah!” Irwan mencekak kasar rahang Firuz, memaksa gadis itu memandangnya. 

“Kau dah kenapa? Aku datang ke sekolah bukan untuk cari gaduh dengan kau. Aku ada hak untuk datang, dan kau siapa hendak halang aku? Aku datang untuk belajar. Yuran persekolahan, aku sendiri yang bayar. Duit keperluan, aku sendiri yang usahakan. Sikit pun aku tak ada minta daripada kau,” Firuz memberanikan diri bersuara sambil kuku tangannya mencakar tangan Irwan yang sedang memegang rahangnya dengan kasar. Matanya mencerlung tajam ke arah lelaki itu.

“Kau ni, memang kurang ajar!” Irwan menolak tubuh Firuz ke dinding dengan kasar, menyebabkan gadis itu tersungkur di lantai. Tudung yang dipakai Firuz direntap dan dicampakkan ke atas lantai.

Irwan duduk melutut di belakang Firuz dan memeluk kemas tubuh itu. Pisau lipat kecil dikeluarkan dari kocek seluarnya. Pisau tersebut dibelek sebelum diacu dan ditekan ke leher Firuz. Wajahnya didekatkan ke wajah Firuz sehingga pipi mereka berlaga.

“Hak? Hak apa lagi yang kau nak? Orang macam engkau ni, tak layak nak bercakap soal hak. Faham? Kau dah ragut kehidupan orang lain, dan sekarang kau masih nak bercakap tentang hak kau. Puihhh! Kau nak belajar? Eh, jangan beranganlah. Kau ingat senang-senang aku nak biarkan kau hidup tenang lepas semua yang terjadi? Aku akan buat apa sahaja untuk hancurkan keluarga kau, seperti mana keluarga kau dah hancurkan keluarga aku. Jangan berangan nak hidup bahagia selepas apa yang kau mulakan. Simpan sajalah hasrat tak guna kau tu,” bisik Irwan. Kata-katanya terselit amaran dalam masa yang sama berbaur ugutan. Kepala Firuz ditunjal-tunjal dengan jari telunjuknya.

“Ini amaran terakhir aku untuk kau. Aku tak nak tengok lagi muka kau dekat sini. Tapi, jangan sekali-kali lupa nama aku, muka aku. Sebab satu hari nanti, aku akan pastikan kita bertemu lagi. Ingat, jangan pernah lupakan aku. Sebab aku pun takkan pernah ‘lupakan’ kau,” sambung Irwan. 

Firuz bungkam. Kata-kata itu cukup tajam, mengalirkan rasa pedih yang mencengkam jiwa. Nada suara Irwan tadi penuh dengan amarah dan dendam. Air mata yang mengalir dari sudut mata dibiarkan. Saat ini dia sangat mengharapkan agar air mata yang gugur itu mampu memadam api dendam yang sedang marak dalam diri Irwan. Dadanya terasa seperti dihentam. Sakit. Senak. Sesak. Rasa yang bercampur menjadikan fikirannya bingung dan kabur. 

Anak mata pisau di leher Firuz ditekan dengan lebih kuat. Cecair pekat dan hangat mula menitis. Darah! Arif mula panik. Dia segera menerpa, memegang kuat pergelangan tangan Irwan, dan menarik sahabatnya itu menjauhi Firuz. Dua lagi rakannya turut membantu. Arif menggelengkan kepala sambil tercengang. Terkejut dan sangat tidak menyangka Irwan akan bertindak sejauh itu. Dia fikir Irwan hanya berniat mengugut dan tidak bermaksud untuk mencederakan. Firuz bernasib baik kerana dia menyedari hal itu dan bertindak pantas sebelum terlambat. Sesaat sahaja kelewatannya, pasti satu nyawa terkorban dan Firuz akan bermandikan darah pada hari ini. Dan sudah tentu dia dan beberapa orang rakannya yang lain tadi tidak akan terlepas. Boleh jadi mereka juga akan turut didakwa dan dituduh bersubahat. Pisau di tangan Irwan dirampas dan dicampak jauh-jauh. 

Firuz kaku. Kegerunan yang melampau membuatkannya diam tak berkutik. Matanya dipejam rapat, ngeri. Dengan kudratnya yang semakin lemah, diam adalah tindakan terbaik yang perlu dilakukannya buat masa sekarang. Provokasi terhadap seseorang yang sedang dibalut dengan api kemarahan adalah satu tindakan yang tidak bijak. Silap-silap nyawa boleh melayang.

“Lepaskan! Biar aku ajar pengkhianat ni!”

Irwan meronta ganas meminta dilepaskan namun Arif dan yang lain tetap memegangnya kemas supaya tidak terlucut. Api kemarahan yang sedang membakar diri menjadikan fikirannya separa sedar dan bertindak di luar batasan. Arif menepuk pipi Irwan beberapa kali manakala yang lain cuba memujuk dan menenangkannya. Irwan dibawa keluar dan diheret secara paksa kerana tidak mahu memanjangkan cerita. Satu jelingan tajam daripada Irwan tatkala dia berada di muka pintu, membuatkan Firuz menundukkan wajah memandang lantai.

Manik-manik jernih laju menuruni pipi. Dadanya terasa bagaikan hendak pecah, menahan satu perasaan yang cukup perit dan tidak terluah. Luka di badannya tidak mampu menandingi luka di hati yang terhiris dengan kata-kata tajam dan cukup berbisa. Amarahnya kian menggunung. Namun rasa bersalahnya juga menimbun. Tapi pada siapakah perasaan itu perlu dilunaskan? Perasaan marah dan bersalah hadir silih berganti. Fikirannya menayangkan satu per satu wajah dan melayarkan kembali setiap detik yang menjadi permulaan kepada titik hitam dalam hidupnya. Wajah yang terpancar di layar ingatan menyesakkan dada dan mengucar emosinya. Kedua-dua tangannya menekup telinga, dan mata dipejam serapat-rapatnya, dengan harapan wajah tersebut lenyap dari ingatannya.

-  -  -  -  -

Angin yang bertiup menampar halus wajahnya. Bebola matanya terus beku merenung jauh ke hadapan. Kelopak matanya dipejamkan sejenak. Segala bayangan yang hadir menyempitkan dadanya, menyukarkannya untuk bernafas. Cacian, hinaan dan segala macam penganiayaan masuk ke dalam benaknya. Perlahan-lahan nafas ditarik, cuba menenangkan pernafasan yang mula semput dan tidak teratur. Mutiara jernih gugur. Perlahan-lahan matanya dibuka. 

“Kematian tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah,” satu suara asing muncul dari arah belakang. Firuz terus pegun tanpa berpaling atau mengendahkannya.

“Tindakan macam ni hanya akan membenarkan tuduhan yang dilemparkan, dan sama sekali tidak akan membongkarkan perkara sebenar,” suara itu terus berbisik.

Kali ini Firuz agak tersentap dengan ayat yang dituturkan itu. Namun mindanya kosong, dan seolah-olah anggota badannya tidak mampu dikawal. Kakinya terasa berat untuk digerakkan, dan mulutnya terkunci rapat. Hanya mata sahaja yang mampu memandang lurus ke hadapan. Seketika dia memejamkan mata, cuba mengusir suara tersebut namun tidak lama. Apabila telinganya menangkap bunyi riuh rendah, matanya dicelikkan kembali. Kepalanya tertoleh-toleh ke kiri dan kanan, mencari arah datangnya riuh rendah tersebut. Fikirannya mula memproses. 

Allah. Baru sedar kakinya berpijak di hujung bumbung rata yang letaknya di tingkat empat bangunan. Rasa gerun dan gayat mula menerjah, namun ada suara yang berbisik sayup di mindanya supaya terus melangkahkan kaki ke hadapan. Keliru. Bingung. Fikirannya benar-benar bercelaru. Suara tersebut cuba dihalau, namun semakin dihalau semakin galak ianya memenuhi ruang fikiran. Matanya terpejam rapat dan seluruh tubuhnya lemah longlai. Lidahnya bergerak-gerak, cuba meminta pertolongan, namun jeritan itu terbenam dalam kerongkong di sebalik bibir pucatnya.

Satu tangan menarik lengan Firuz, membuatkan badannya terpusing sebelum tumbang ke dalam rangkulan yang tegap dan kemas. Hembusan nafas lega terdengar jelas di cuping telinga. Dengan mata yang masih terpejam dan badan yang menggigil, dagunya dipagut lembut ke bahu dan tangannya memaut pinggang orang yang sedang merangkul kemas badannya. Setelah berasa selamat dan terlindung, Firuz menghela nafas perlahan-lahan. Kepalanya diangkat, cuba melihat wajah yang baru sahaja menyelamatkannya, namun serta-merta pandangannya berbinar, dan kelopak matanya hanya mampu berkerdip lemah. Seluruh sendinya terasa lumpuh, dan tenaga yang ada langsung hilang. Badannya melorot jatuh namun sempat disambut sebelum mencecah ke lantai. Pandangannya gelap.

๐Ÿ–ค To Be Continue ๐Ÿ–ค

© All Rights Reserved

Memilih Genre? ✅ 

Membentuk Watak? ✅

Membina Sifat Watak? ✅

Membina Latar Tempat & Masa? ✅

Interaksi Antara Watak & Dunia? ✅

Perkara di atas sudah selesai dibincangkan dalam posting saya yang sebelum ini. Jadi, sekarang... Kita sudah boleh mula masukkan segala idea dan hasil pencarian untuk membentuk plot cerita. Cara yang paling mudah untuk kita membuat rangka cerita adalah dengan membina kronologi.

Kronologi yang saya maksudkan itu bukanlah kita perlu merangka dari awal sampai akhir sebelum menulis. Kronologi yang saya maksudkan itu ialah bagaimana kita menyusun interaksi watak, memperincikan latar belakang peristiwa dan memadankan watak dengan dunia novel kita.

Jadi, pada peringkat ini mungkin akan berlaku sedikit perubahan berbanding idea asal. Tak mengapa, itu tidak menjadi masalah bahkan mungkin idea baru ini lebih baik dan bernas berbanding sebelumnya. Perubahan yang berlaku terhadap watak juga merupakan perkara biasa, dan ia bagus sebenarnya. Ini kerana perubahan demi perubahan yang berlaku itu membuktikan seberapa bagus plot yang dibina.

◾ Macam mana cara untuk menyusun kronologi cerita? 

Antara cara paling mudah dan biasa digunakan adalah dengan menyenaraikan insiden-insiden penting yang berlaku dalam cerita, sama ada secara rambang atau berturut-turut berdasarkan plot (permulaan, perkembangan, konflik, klimaks, peleraian). 

Kalau boleh, bahagi siap-siap, bab berapa hingga berapa, termasuk dalam plot mana. Itu akan lebih memudahkan pengarang, bahkan melancarkan proses menulis dan pengembangan idea. Cara ini akan membuatkan penulis mendapat gambaran tentang keseluruhan cerita, dan bagaimana penamatnya nanti.

◾ Apa kebaikan menulis bab demi bab dengan tersusun?

Okay, pertama sekali... Dah tentu penulis boleh pergi dengan lebih mendalam untuk setiap bab itu. Selain itu, penulis akan di 'guide' oleh jalan cerita itu sendiri. Contohnya muncul adegan-adegan baru yang penulis tak pernah terfikir sebelum ini. Hal itu akan terjadi apabila penulis menulis bab demi bab. Tak percaya? Cubalah! ๐Ÿ˜„ Satu lagi kebaikan ialah, penulis boleh membuat bacaan ulangan kemudian menambah mana-mana bahagian yang kelihatan lemah dan belum lengkap. 

Ini boleh dikatakan sebagai 'master plan'. Ia akan membantu penulis mengarang cerita dengan lebih efisien dan tersusun. Malah ia juga boleh membantu penulis untuk konsisten dalam menulis, serta membolehkan penulis melihat gambaran cerita dengan penuh terperinci dan mendalam.

Di atas ini merupakan contoh senarai bab demi bab mengikut plot. Selain daripada mengelakkan penulisan kita bercampur aduk, ia juga sangat berguna untuk mengelakkan daripada kehilangan idea. Stress juga kan, apabila kita semangat hendak menulis, idea yang berkobar-kobar itu hilang serta merta? Jadi, apabila idea muncul... Jangan berlengah. Terus catat dan buat nota. ๐Ÿค—

Selamat menulis buat semua! ๐Ÿ’•

© All Rights Reserved

Kembali lagi kita dalam tip menulis novel, kali ini saya akan menyambung tip yang sudah saya huraikan sedikit pada minggu lepas. Tip kali ini masih di bawah tajuk 'Worldbuilding', iaitu pemilihan latar belakang (masa dan tempat) bagi novel yang akan kita tulis. Korang dah decide ke dunia apa yang akan korang gunakan untuk menulis novel? Kalau saya, sudah tentulah dunia realiti, sebab saya tidak memiliki daya imaginasi yang tinggi sebagaimana sebahagian penulis hebat yang lain.

Okey... Kita sambung semula topik 'worldbuilding' ini. 'Worldbuilding' ini bukan sahaja seronok, bahkan ia juga merupakan antara bahagian terpenting dalam pembikinan novel. Dalam bahagian kedua worlbuilding ini, kita akan meneliti perincian yang boleh ditambah untuk membuatkan cerita yang ditulis itu benar-benar hidup dan segar.

๐Ÿ“Œ PENTING : BAGAIMANA WATAK DAN DUNIA BERINTERAKSI

Dunia yang telah kita pilih akan menentukan dan memberi kesan terhadap kehidupan watak. Misalnya dari segi peribadi, kehidupan seharian mereka, dan bagaimana / apakah yang akan berlaku pada masa akan datang. Untuk lebih jelas, saya sertakan contoh ya.

◾ Dunia Lampau : 

Contoh, anda menulis berkenaan sejarah. Jadi anda perlu memadankan zaman yang anda pilih itu dengan kehidupan seharian watak, yang sudah tentu jauh bezanya dengan zaman sekarang iaitu zaman yang pesat dengan pembangunan dan teknologi. Contoh perkara yang berbeza ialah aktiviti seharian, cara masyarakat bersosial, pakaian dan adat resam dan sebagainya. Juga boleh menceritakan bagaimana aktiviti seharian itu dilakukan. Bayangkan anda berada di zaman itu, yang mana tidak ada teknologi sepertimana zaman kini. Menyeronokkan untuk ditulis, bukan?

Contoh lagi, sekiranya anda bercerita soal peperangan, anda perlu meneliti bagaimana reaksi atau tindakan mereka ketika itu. Apakah yang mereka lakukan sehari-hari untuk menyelamatkan diri? Bayangkan apakah yang biasanya terjadi apabila berlakunya peperangan. Gambarkan bagaimana kemusnahan, ketakutan yang dialami, kecederaan yang mungkin berlaku, dan banyak lagi.

◾ Dunia Fantasi : 

Dunia fantasi atau imaginasi ini luas, bergantung kepada apa yang anda reka. Contoh yang akan saya beri ialah dunia masa depan / robotik. Bayangkan anda hidup pada zaman yang mana hampir kesemuanya diuruskan oleh mesin. Kalau anda memilih dunia seumpama itu, anda perlu memadankannya dengan watak serta kehidupan seharian mereka. Sudah tentulah hari-hari mereka akan berbeza dengan dunia realiti. Bangun pagi, contohnya. Jika di dunia realiti, kita akan sibuk membuat sarapan kemudian bersesak ke tempat kerja. Mungkin pada masa hadapan, anda boleh andaikan bahawa segalanya disediakan oleh robot. Sarapan, kerja-kerja rumah dan sebagainya. Itu contoh, ya. 

Sebab itulah, pentingnya anda menguasai worldbuilding ini. Kerana proses ini akan mengikat watak dengan dunia mereka. Susah hendak memadankan watak dengan dunia mereka? Jangan risau. Anda boleh mengambil inspirasi daripada dunia realiti dan mengubahnya ke dalam bentuk yang sesuai dengan dunia anda. Apakah aspek-aspek yang boleh diinspirasikan daripada dunia realiti itu?

▪ Landskap, Topografi (keadaan muka bumi), Cuaca, Flora dan Fauna.

▪ Agama, Makhluk, Sejarah, Mitos, Masyarakat, Budaya, Pengangkutan.

▪ Pekerjaan, Ketenteraan, Teknologi, Perubatan, Politik, Sistem Kerajaan.

Kajian yang dilakukan boleh bersandarkan senarai di atas, bergantung kepada dunia yang anda pilih. Senarai di atas adalah untuk memudahkan anda melaksanakan kajian bagi mendapatkan maklumat. Sekiranya ada penambahan lain, dipersilakan menggunakannya. Mungkin ia dapat menambah lagi kualiti novel anda. Jangan risau dan berasa terbeban. Anda tidak perlu menghurai setiap aspek dengan benar-benar terperinci. Hanya perkara tertentu sahaja yang memerlukan latar penceritaan yang mendalam. Bagi mengelakkan anda merasa terbeban, saya cadangkan anda menerangkan sesuatu itu dengan terperinci, hanya jika mendapati ianya signifikan, penting dan dapat membantu perkembangan watak. Contohnya, jika aspek utama yang berkaitan dengan watak ialah pendirian agama, maka anda perlu mengetengahkan hal itu dengan lebih mendalam berbanding hal-hal lain.

Banyak kebaikan sekiranya anda mampu menceritakan dunia novel anda dengan lebih mendalam. Antaranya ialah pembaca akan merasa seronok, kerana dapat menghayati apa yang ditulis. Selain itu, ia juga dapat memberikan impak emosi terhadap para pembaca. 

 © All Rights Reserved

Hi guys! Kembali ke tip menulis yang seterusnya, iaitu 'membina dunia'. Tip kali ini merupakan proses yang menyeronokkan dalam sebuah penulisan novel, kerana bermula dari sini, anda akan memulakan penyelidikan dan membuat kajian untuk novel yang bakal ditulis. Selain itu, dalam proses ini, anda dipersilakan meluaskan imaginasi anda dan digalakkan untuk menulis sesuka hati anda!

Soalan pertama yang anda perlu tanya kepada diri anda ialah, dunia apakah yang dipilih untuk anda mempersembahkan karya anda? Adakah dunia realiti? Adakah dunia lampau (sejarah)? Ataupun dunia fantasi (dunia imaginasi)? Tepuk dada, tanya selera. Dah buat pilihan? ๐Ÿ˜‰

๐Ÿ‘ป Dunia Realiti

Bagi penulis yang memilih dunia realiti sebagai latar tempat dan masa, tahniah. Anda dapat menjimatkan sedikit masa kerana persediaan asasnya sudahpun ada. Kenapa saya berkata begitu? Kerana bagi mereka yang memilih dunia realiti, suasana, persekitaran dan gambaran sudahpun tersedia di depan mata. Mereka hanya perlu meneliti dan menggunakan alam di sekeliling watak mereka untuk mengembangkan cerita. Contoh dunia realiti di sekeliling watak ialah tempat kediaman, tempat kerja, persekitaran dan seumpamanya. Namun, mereka yang memilih dunia pertama ini masih perlu membuat sedikit penyelidikan sekiranya mereka menulis berkenaan sesuatu yang melibatkan fakta. Contohnya perubatan dan teknologi. Ataupun, sekiranya mereka menulis berkaitan sesuatu yang berada di luar pengetahuan mereka, atau tempat yang tidak pernah mereka kunjungi.

๐Ÿ‘ป Dunia Lampau

Bagi penulis yang memilih dunia lampau, tahniah dan syabas. Kerana anda adalah golongan yang rajin, dan sangat gemar akan cabaran. Ini kerana penulisan novel yang berlatarbelakangkan dunia lampau memerlukan kajian yang banyak, dan proses penulisan anda mungkin akan diberati dengan penyelidikan. Menulis tentang fiksyen sejarah adalah yang mana penulis mengadunkan fakta sejarah dalam penulisan mereka. Dalam hal ini, penulis perlu merangka dan menyediakan fakta-fakta berdasarkan zaman yang mereka pilih. Tetapi jangan risau. Fiksyen sejarah bukanlah seperti buku ilmiah yang sarat dengan 100% fakta yang tepat. Dalam menulis novel fiksyen sejarah, penulis boleh membuat penambahan terhadap perkara yang tidak dapat diselidiki. Ataupun, jika berminat, mereka boleh mengubah sebahagian daripada perjalanan asal sejarah itu sendiri.

๐Ÿ‘ป Dunia Fantasi / Imaginasi

Bagi mereka yang memilih dunia lain contohnya fantasi, mereka bebas menentukan bagaimana dunia tersebut. Perkara paling penting bagi penulis yang memilih dunia ini adalah daya imaginasi. Mungkin terdapat sedikit kajian yang perlu dijalankan, contohnya seperti untuk mengetahui bagaimana sistem ketenteraan dijalankan, atau bagaimana pengurusan sesebuah istana. Namun ia tidaklah teliti, bahkan ia tidaklah perlu tepat sebagaimana dunia sebenar, memandangkan ia dalam dunia fantasi. 

๐Ÿ“Œ Langkah Seterusnya

Selepas memilih dunia manakah yang akan menjadi latar belakang penulisan anda, langkah seterusnya ialah dengan mencatat keseluruhan idea, nota dan hasil kajian. Pada proses ini, biarkan imaginasi anda melata seluas mungkin. Apabila idea dicurahkan, anda akan mula nampak jalan untuk menghasilkan sebuah cerita. Proses ini adalah untuk membolehkan anda memahami cerita yang akan ditulis dengan lebh mendalam, serta menghasilkan gambaran yang lebih jelas.

Namun, apa jua latar belakang yang anda pilih, pastikan ia terlihat seperti benar-benar wujud dan hidup. Tidak kisahlah sama ada imaginasi atau realiti, sesebuah cerita itu perlu hidup terlebih dahulu, sebelum ia hidup di hati pembaca. Ia juga perlu 'believable' dalam konteks dunianya.  

Contoh cerita yang hidup ialah Twilight Series karya Stephenie Meyer, dan Harry Potter Series karya J. K. Rowling. Novel tersebut meskipun bukan berlatarbelakangkan dunia nyata, namun ia cukup hidup di hati para pembaca, sehingga membuatkan mereka berasa watak itu benar-benar ada.

Berikut adalah contoh novel yang saya sebutkan tadi.


Karya Stephenie Meyer


Karya J. K. Rowling

© All Rights Reserved

Sebelum ini saya dah huraikan dua tip menulis novel iaitu pertama, Memilih Genre dan kedua, Membina Watak. Jadi kali ini saya akan huraikan sedikit lagi sambungan bagi tip kedua, iaitu berkaitan dengan watak. 

Membina watak bukanlah sekadar memberikan nama-nama yang hebat dan sedap, namun ia sebenarnya lebih kepada membentuk sifat dan keperibadian watak yang kita pilih itu. Sifat yang ada pada watak itulah yang akan menjadi pendorong kepada tindakan mereka dalam novel nanti, bahkan novel yang baik boleh dikatakan didasari oleh pembinaan watak yang menarik dan mantap.

๐Ÿ”ด Bagaimana hendak membina sifat bagi watak yang kita pilih?

◾ Cara pertama adalah dengan mengambil contoh sifat yang ada pada manusia di sekeliling kita. Maksudnya, mengalihkan sifat di dunia nyata, dan memasukkannya ke dalam cerita. Macam mana tu? Contohnya, anda memerhati sifat-sifat yang ada pada rakan, ahli keluarga mahupun kenalan. Kemudian anda mendapati bahawa segelintir daripada sifat mereka itu sesuai digunakan serta bertepatan dengan sifat watak novel anda. Jadi, daripada itu... Anda boleh mengambil contoh sifat-sifat itu dan memberikannya kepada watak-watak novel anda. 

Contoh sifat yang biasa kita perhatikan ialah rajin, malas, panas baran, dingin, peramah, lemah lembut, dan banyak lagi. Sifat antagonis pula boleh didapati melalui pemerhatian terhadap musuh / orang yang tidak menyukai anda. Contohnya talam dua muka, orang yang suka mengadu domba, suka menabur fitnah dan banyak lagi.

◾ Cara kedua adalah dengan menggunakan imaginasi kita sendiri. Sekiranya anda mendapati bahawa ciri-ciri yang dicari itu tidak ada pada orang yang anda kenali, maka anda boleh mencipta sifatnya. Anda boleh menggunakan contoh daripada filem dan drama, atau cipta sifat itu dengan membayangkannya. Permulaan bagi membentuk sifat adalah dengan menentukan kegemaran, kebencian, seterusnya membayangkan rupa fizikal mereka (tinggi, warna kulit dan sebagainya). Bagaimanapun watak yang anda bina, pastikan anda merujuk tiga ciri yang perlu diteliti bagi mencipta watak yang menarik. Ciri itu sudah saya huraikan dalam post sebelum ini → Membina Watak.

๐Ÿ“Œ PENTING

◾ Membuat biografi watak.

Kenapa biografi watak itu penting? Jawapannya ialah, biografi watak bukan sahaja mampu membantu anda untuk konsisten dalam menulis cerita, malah ia boleh menambah pengetahuan anda tentang diri watak. Pentingnya kearifan seorang penulis terhadap watak yang ditulis dalam ceritanya, kerana ia akan membolehkan penulis menjiwai / meletakkan dirinya dalam situasi watak. 

Apakah perkara yang biasanya dicatat sebagai biografi watak?

▪ Umur | Jantina | Bangsa dan Keturunan | Tempat lahir / Insiden (sekiranya ada)
▪ Warna mata dan rambut | Gaya kegemaran dalam berpakaian (casual, formal, modest, sexy)
▪ Ciri-ciri rupa paras & Bentuk badan | Sejarah peribadi (Trauma, kesilapan silam)
▪ Sifat (Kesan daripada sejarah peribadi) | Habit / Pembawaan | Loghat / Dialek
• Matlamat / Tujuan / Maksud (Contoh : Keluar dari kesengsaraan).

๐Ÿ”ด Kenapa matlamat dan tujuan kewujudan watak itu penting?

Setiap yang diciptakan di dunia ini mempunyai tujuan dan kepentingannya yang tersendiri. Sedar atau tidak, kita semua mesti mahukan sesuatu dalam hidup ini. Sama juga halnya dengan watak. Mereka perlu mempunyai matlamat untuk dicapai. Jika tidak, kewujudan mereka akan sia-sia. Setiap watak dalam novel sama ada watak utama atau sampingan, perlu mempunyai purpose (matlamat). Kenapa? Kerana... Purpose itulah yang akan menggerakkan cerita dan mewujudkan interaksi (sama ada kerjasama / konflik), yang mana kedua elemen itulah yang akan membuatkan cerita yang ditulis oleh anda menyerlah dan menarik.

Daripada biografi dan purpose, anda akan dapat lihat watak yang manakah akan bersatu, dan watak manakah akan bercanggah. Daripada itulah, anda akan mendapat idea untuk mencipta adegan-adegan dan konflik yang akan menjadi buah kepada penulisan novel anda. 

© All Rights Reserved


๐Ÿ“ŒAntara perkara lain yang penting selain memilih genre ialah Watak dan Perwatakan. Langkah pertama dalam menulis novel adalah memilih genre, manakala langkah kedua pula adalah membentuk dan mencorakkan watak agar sesuai dengan jalan cerita yang dikarang. 

Bagaimanakah cara untuk membina watak yang menarik? Adakah perlu menggunakan nama-nama yang modern atau hebat? Adakah perlu menyatakan ciri-ciri yang menunjukkan kesempurnaan watak tersebut contohnya kaya, kacak, rajin, berkarisma dan sebagainya?

Pada pandangan saya, TIDAK SEMESTINYA. Watak yang menarik dan hebat tidak perlu tampil dengan sempurna tanpa cacat cela. Apa yang penting pada watak adalah sifat dan keperibadiannya. Itu yang akan membawanya menyusuri jalan cerita dengan baik dan menarik. Soal pemilihan nama, ia juga penting sebenarnya. Misalnya dalam cerita bergenre sejarah, nama modern tidak sesuai digunakan. Nama yang digunakan perlu sesuai dengan latar belakang, masa dan tempat yang dipilih untuk karya. Namun, hal itu tidak perlu terlalu difokuskan, sehingga mengabaikan perkara-perkara lain yang lebih penting. Ini kerana, nama watak hanya 2% sahaja daripada keseluruhan karya.

๐Ÿค Jadi bagaimanakah cara untuk memastikan watak yang kita bentuk itu menarik, dan sesuai dengan karya? Di sini terdapat beberapa ciri yang boleh diteliti dalam membina dan mencorakkan watak.

1. Relatable (Memberi perkaitan)

Apa maksud relatable ni? Okay first, kita fahami dulu maknanya. Relatable boleh diertikan sebagai 'menghubungkan'. Menghubungkan apa? ๐Ÿ‘‰ Menghubungkan pembaca dengan watak yang kita bina. Bagaimana? Haa... Di sini saya akan berikan sedikit penjelasan mengenainya. 

Salah satu perkara terpenting dalam menulis novel adalah mewujudkan relatable character. Relatable character ni macam mana? Adakah perlu menggunakan watak sebenar? Okey, relatable character di sini merupakan watak yang boleh menyalurkan rasa dan emosi kepada pembaca. Tidak semestinya diambil daripada kisah benar. Ia boleh juga menggunakan watak rekaan, tetapi pastikan watak-watak itu membawa pengalaman, perasaan, perlakuan, atau apa-apa sahaja yang boleh memberikan keterkaitan di antara karya dan para pembaca.

Kenapa relatable character penting? Kerana, ia merupakan medium yang membolehkan pembaca menjiwai cerita tersebut. Contoh, mereka mendapati terdapat persamaan antara diri mereka dengan watak utama. Maka selepas itu, mereka sudah pasti akan lebih menghayati jalan ceritanya. Satu perkara lagi, pembaca akan merasa dekat serta lebih mudah menyerap nilai dan pengajaran yang disampaikan.

๐Ÿ“ŒPS : Tetapi tidak semua cerita wajib mempunyai relatable character. Dan relatable character bukanlah satu kemestian untuk menjadi bestseller. Pandangan di atas hanyalah pendapat peribadi saya sebagai salah seorang penulis novel. Selebihnya terpulang kepada cara masing-masing.

2. Believable (Percaya)

Ciri kedua dalam mewujudkan watak yang menarik adalah 'believable character'. Apakah believable character ni? ๐Ÿ‘‰ Ia adalah sebuah watak yang terlihat seakan-akan 'benar'. Benar dari sudut apa? Believable character ini merupakan watak yang membuatkan pembaca merasakan seolah-olah watak itu benar-benar ada. Ia melibatkan banyak perkara contohnya dari segi kemunculan (appearance), personaliti, motif atau matlamat, emosi dan hubungan sosial. 

Appearance biasanya dihuraikan berdasarkan gambaran fizikal contohnya mata, susuk tubuh, warna rambut atau apa-apa sahaja yang berkaitan dengan fizikal watak. Kebolehan penulis menghuraikan character appearance ini akan mewujudkan sebuah watak yang 'hidup'. Seterusnya, personaliti. Personaliti ini boleh dikaitkan dengan loghat, gaya pengucapan, atau boleh diselitkan kata-kata hikmat kegemarannya termasuklah nada suara. Ia juga melibatkan sifat seperti tegas, lemah lembut, penyayang, dan sebagainya. Personaliti juga penting dalam membina believable character.

Dalam mewujudkan believable character, sangat penting untuk penulis menetapkan matlamat / goal watak tersebut. Kerana, cerita tanpa matlamat atau sesuatu yang hendak dicapai akan membuatkan seluruh karya itu kurang bermakna. Contoh matlamat adalah seperti kebahagiaan dalam perhubungan, kekayaan, penebusan / mengembalikan maruah atau nama baik termasuklah balas dendam atas pengalaman lalu. Semua itu merupakan keinginan yang mungkin terdapat dalam diri watak.

Emosi pula boleh digambarkan dengan reaksi, yang mana ia harus sesuai dengan situasi. Contohnya, apabila disakiti. Letakkan diri kita pada tempat watak, kemudian fikirkan apakah tindakan kita pada waktu tersebut. Sekiranya tindakan itu agak tidak rasional, bina soalan 'mengapa ia dilakukan'.

๐Ÿ“Œ PS : Sangat penting untuk seorang penulis mengenali watak yang dibinanya luar dan dalam bagi membolehkannya memahami kekusutan yang dialami oleh watak. Juga jangan lupa, backstories adalah vital, kerana ia memberi pengaruh yang sangat kuat ke atas diri, personaliti dan segala tindak-tanduk watak. Satu hal lagi, penulis perlu memberi peluang kepada watak untuk berkembang. Maksudnya, sesebuah watak khususnya watak utama perlu mengalami perubahan, agar karya yang dibina itu tidak mendatar dan membosankan.

3. Consistent (Tekal)

Apa maksud tekal? Tekal bermaksud tidak berubah-ubah, atau tetap. Contoh paling mudah, dalam menulis novel, penggunaan nama watak perlu tekal. Misalnya pada awal bab kita menamakan watak itu Zainuddin, maka sehingga akhir penulisan pun, nama itulah yang perlu digunakan. Jangan mengubah di pertengahan misalnya menjadi 'Din' atau 'Zai' dan sebagainya.

Masuk kepada bab character consistency. Ketekalan watak bukan bermaksud watak itu perlu statik dan tidak berubah-ubah. Ketekalan ini merujuk kepada sifat watak itu sendiri. Contohnya watak A seorang yang panas baran atau bengis. Sifat itu perlu dikekalkan dari bab ke bab. Watak A tidak boleh tiba-tiba berubah menjadi periang dan peramah pada bab selepasnya. Ia terlihat mustahil untuk sifat seseorang berubah dalam sekelip mata. Melainkan watak itu menghidap bipolar disorder. Cuma, untuk mendatangkan perubahan kepada watak A itu, penulis perlu merangka babak atau peristiwa tertentu yang mendorong kepada pertukaran sifatnya. Itupun secara beransur-ansur, bukannya drastik. 

Namun terdapat perkara yang perlu tekal dan tidak diubah. Contohnya, watak itu merupakan seorang yang right handed, bermata bundar berwarna coklat, mempunyai parut atau tattoo dan sebagainya. Ia merupakan ciri-ciri yang perlu dikekalkan. Manakala sifat pula mungkin boleh mengalami perubahan bergantung pada situasi, namun tidak sepenuhnya.

Macam mana cara korang membina watak? 

Jom kongsikan di ruangan komen! ๐Ÿฅฐ

© All Rights Reserved

"Susahkah menulis?" 

"Bagaimana hendak mula menulis?" 

"Bagaimana untuk mendapatkan idea?" 

"Apakah perkara pertama yang perlu dilakukan untuk menulis novel?" 

Soalan di atas pasti bermain dalam fikiran seseorang yang berniat untuk menjadi penulis. Menulis novel ini sedikit berbeza daripada menulis buku-buku lain contohnya buku ilmiah. Ini kerana dalam penulisan novel, tiada format khusus yang ditetapkan sebagaimana bahan bacaan yang lain.

Susahkah? Okay saya jawab dengan pandangan peribadi saya, ya. Bagi saya agak susah. Bahagian yang paling susah dalam menulis novel ialah permulaan. Permulaan ini termasuklah untuk memperkenalkan watak-watak dan situasi. Betul lah kata orang, menulis ni umpama air paip. Selagi kita tidak membuka pili, maka selagi itu air tidak akan mengalir. Jadi apa yang perlu dilakukan? Mula Menulis. Permulaan penulisan akan terasa sangat payah, tapi yakinlah setelah beberapa ketika, idea akan datang mencurah-curah. In-sya Allah. ๐Ÿค—

Bagaimana hendak mula menulis? Nak mula menulis.. Bagi saya perkara pertama yang perlu ada ialah Minat. Kalau tidak ada minat, dibimbangi ia akan terhenti separuh jalan. Kedua, Matlamat. Kenapa hendak menulis? Apa yang hendak disampaikan melalui penulisan kita? Soal Bakat, itu boleh diasah. Seorang penulis profesional bermula daripada seorang penulis biasa yang tidak pernah mengalah. Jadi, jangan pernah lemah semangat, dan menulislah demi ummah ๐Ÿ˜‰

Bagaimana mendapatkan idea? Jangan risau. Idea akan datang apabila kita memulakan cerita. Jadi nak tak nak, perlu bermula. Soal kualiti penulisan, itu boleh diperbaiki dari semasa ke semasa. ๐Ÿฅฐ

Sekarang kita masuk kepada topik penting dalam 'TIP MENULIS NOVEL'. Apakah perkara pertama yang perlu dilakukan untuk menulis novel? Okay pertama sekali kita perlu tahu bahawa terdapat banyak cara untuk memulakan sesebuah penulisan khususnya novel. Cara itu pula berbeza-beza, bergantung kepada penulis itu masing-masing. Ada penulis selesa memulakan novel mereka dengan menamakan watak. Ada penulis selesa memikirkan tajuk terlebih dahulu supaya isinya nanti berkaitan dengan tajuk yang mereka pilih. Ada juga yang suka melakarkan plot, supaya apa yang ditulis nanti tidak terpesong jauh daripada idea asal. Bermacam-macam, bukan?

Jadi apa yang akan saya tulis ini, merupakan salah satu cara untuk memulakan novel. Apakah caranya?  Tadaa...๐Ÿ‘‰ MEMILIH GENRE. Bagi saya, antara cara mudah untuk menulis novel adalah dengan memilih genre atau jenis cerita yang ingin ditulis terlebih dahulu. Apa itu genre? GENRE ialah kategori atau jenis karya sastera yang dicirikan dengan gaya, bentuk / kandungan tertentu. 

Contoh genre ialah :

๐Ÿ˜ฎ Aksi (Action)

๐Ÿ˜ฎ Fantasi (Fantasy)

๐Ÿ˜ฎ Komedi (Humor)

๐Ÿ˜ฎ Misteri (Mystery)

๐Ÿ˜ฎ Pengembaraan (Adventure)

๐Ÿ˜ฎ Romantik (Romance)

๐Ÿ˜ฎ Sejarah (Historical)

๐Ÿ˜ฎ Seram (Horror)

Apabila genre telah dipilih, maka lebih mudahlah untuk kita fikirkan bagaimana jalan cerita, watak yang perlu ada, dan konflik-konflik yang akan didepani oleh watak itu nanti. Sebagai contoh, genre romantik. Pasti dalam fikiran kita sudah terbayang bahawa romantik itu berkaitan soal cinta. Bermula daripada itu, kita boleh memilih watak-watak, dan apakah konflik yang sesuai untuk genre romantik. Untuk perkembangan idea, ia bergantung kepada penulis sama ada hendak menggabungkan elemen lain seperti aksi, seram / komedi bagi menyokong penulisan mereka.

Oh ya. Pemilihan genre ini juga meliputi dua perkara. Antaranya ialah :

1. Genre manakah yang terbaik, yang membolehkan kita menyampaikan cerita / karya kita.

Contoh. Kita hendak menulis berkenaan cabaran dalam rumah tangga / konflik dalam sesebuah perhubungan. Jika dilihat, sudah tentulah ia bertepatan dengan genre romantik / drama / kekeluargaan. Kerana genre tersebut membolehkan kita mendalami serta menyampaikan cerita dengan baik. Ia juga akan menyerlahkan 'first impression' seseorang terhadap karya kita. Apabila pembaca melihat sinopsis / blurb, mereka akan tahu 'Oh, novel ini berkisahkan tentang konflik pasangan, keluarga, etc.'

2. Genre manakah yang memberi keyakinan untuk anda menulis.

Macam mana nak tahu, genre manakah yang patut kita tulis? Salah satu kuncinya ialah - genre yang kita minati. Jika kita meminati genre romantik-komedi (rom-com), maka tulislah cerita bergenre romantik komedi. Jika kita sukakan thriller / misteri, maka tulislah cerita yang berunsurkan genre tersebut. Kenapa? Kerana, menulis apa yang kita suka akan memudahkan kita memperolehi idea.

Genre manakah yang anda minati? 

Jom kongsikan karya masing-masing di ruangan komen! ๐Ÿฅฐ

© All Rights Reserved

Older Posts Home

๐Ÿค VISITORS ๐Ÿค

GET TO KNOW ME ๐Ÿค—

GET TO KNOW ME ๐Ÿค—
๐Ÿ˜Ž Dress how you want to be addressed...

ABOUT ME ๐Ÿค

Writer | Blogger | Fan of ATM & PDRM ๐Ÿ‘จ‍✈️

POPULAR ๐Ÿค

  • NOKTAH - PROLOG
    Waktu rehat bermula bagi pelajar sesi menengah bawah. Masing-masing mula berpusu-pusu ke kantin, mengisi perut sebelum meneruskan sesi pembe...
  • NOKTAH - SPECIAL CHAPTER
    20 Tahun yang lepas…. Keriuhan itu semakin lama semakin jelas kedengaran di cuping telinganya. Susah payah kelopak matanya cuba dibuka, mesk...
  • TIP MENULIS NOVEL - 1
    "Susahkah menulis?"  "Bagaimana hendak mula menulis?"  "Bagaimana untuk mendapatkan idea?"  "Apakah perka...
  • TIP MENULIS NOVEL - 5
    Kembali lagi kita dalam tip menulis novel, kali ini saya akan menyambung tip yang sudah saya huraikan sedikit pada minggu lepas. Tip kali in...
  • TIP MENULIS NOVEL - 2
    ๐Ÿ“ŒAntara perkara lain yang penting selain memilih genre ialah Watak dan Perwatakan. Langkah pertama dalam menulis novel adalah memilih genre...

CATEGORIES ๐Ÿค

  • CERPEN 5
  • NOKTAH 3
  • NOVEL 3
  • TIP MENULIS NOVEL 6

FOLLOWERS ๐Ÿ’

FAVOURITES ๐Ÿ’

  • LIFESTYLE BLOGGER - (HAWA HASSAN)

CONTACT ME ๐Ÿ’Œ

Name

Email *

Message *

Copyright © 2016 Cik Tinta's. Created by OddThemes